Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah : 155-156)

25 October 2010

Another Break

Kemaafan yang berjuta-juta kerana tidak menepati janji untuk meng'update' post seterusnya. Jika alasan diterima, ini adalah disebabkan hari-hari terakhir di rumah sebelum pulang ke Mesir di'ceria'kan dengan kabel telefon rumah dicuri untuk kali ke-8. Disebabkan Ayah akan menunaikan haji beberapa minggu lagi, maka tidak ada lagi orang yang akan mendesak agar kabel tersebut diganti. Fortunately, kabel tersebut tidak melibatkan rumah tok saya (= nenek dalam bahasa orang Kedah ye bagi siapa-siapa yang tak tahu - teringat student MA di Hospital Baling) seperti kabel yang dicuri pada kali ke-7. Oleh itu memudahkan tok saya membuat dan menerima panggilan dari makcik dan pakcik yang prihatin.

Sebelum saya menambah lebih banyak lagi post yang berkaitan dengan perubatan (beserta istilah-istilahnya), lebih baik saya kongsikan sesuatu yang di luar bidang itu. Berkaitan raya. Dan juga berkaitan keluarga sebelah ibu saya. Tentunya tentang makanan yang cukup istimewa iaitu BURASAK!

Burasak adalah sejenis makanan tradisional masyarakat Bugis. Bugis, satu golongan yang pernah anda baca dalam buku sejarah tingkatan 4 dan 5 adalah serumpun dengan Melayu cuma bahasa dan budaya (juga makanan) agak berlainan. Berasal dari Makassar, Sulawesi (sila rujuk peta), masyarakat ini juga ramai mendiami bahagian selatan Malaysia terutamanya Johor dan Melaka. Termasuklah nenek saya yang berketurunan Bugis-Johor yang telah berkahwin dengan Atok Yek (atok saya) yang juga Bugis-Makassar. Ini adalah menurut pengetahuan saya. Jika ada kesalahan sila betulkan. *grin*

Burasak juga adalah resepi turun temurun yang hanya dimasak dengan jayanya oleh nenek-nenek dan sebahagian kecil makcik-makcik. Jika bahasa Bugis mengalami kepupusan (yang hanya saya dengar dari nenek-nenek dan beberapa makcik-makcik di kampung Muar), burasak juga mengalami kepupusan disebabkan banyak faktor seperti memasaknya yang leceh, memerlukan kemahiran dan kepakaran. (Begitu juga lemang di kampung saya, Baling.) Oleh itu raya baru-baru ini, ummi saya telah membuat sedikit nota tentang resepi burasak yang saya perkemaskan di bawah ini. Untuk lebih tips dan pantang larang perlu berguru dengan nenek saya. Apa yang saya boleh katakan, saya tidak pernah merasa burasak sesedap yang nenek saya masak yang menjadi pilihan makanan pertama apabila pulang ke Johor. Terimalah..

Burasak
Best Burasak Eva! *grin*
Resepi Burasak

1. 10 pot beras
2. 10 biji kelapa
3. daun pisang muda yang gulung (pisang nipah)
4. daun pandan wangi
5. santan cair (separas beras)
6. santan pekat

Cara:

Masak beras (beras favorite nenek : Royal Umbrella yang wangi dan cantik..) dengan santan cair kemudian dikukus hingga masak, lepas itu dituang santan pekat gaul dan biarkan sebati barulah dibungkus dengan daun pisang yang lebih tua 5,5 dan diikat. Bungkusan yang pertama perlu dicetak supaya saiznya sekata dan dapat dibungkus dengan kemas. Kemudian direbus selama 8 jam.

Burasak ini seperti ketupat dan lemang yang sedap dimakan dengan rendang ayam/daging ataupun dengan serunding ayam/daging/ikan/udang.






Burasak 3Burasak 4


Burasak 2


Walaupun saya pulang beraya di Muar pada hari kedua tahun ini, saya tidak sempat menjamah malah melihat baki burasak. Namun nenek yang begitu gigih dan rajin berjanji akan memasak burasak untuk kali kedua sebelum kepulangan kami semula ke Mesir. Maka pada malam sebelum berlepas, di rumah Pak Andak saya di Putrajaya, kami sekeluarga berkesempatan menjamah (baca : melantak) burasak yang dibawa khas dari Muar, Johor bersama rendangnya! Nenek memang terbaik! Sayang nenek sangat-sangat!

Jika tidak keberatan, bagi sesiapa yang ingin merasa masakan nenek saya ini, jangan segan-segan untuk mencuba resepi di atas. He he he. Maaf, tidak mahu menyusahkan nenek saya lagi untuk masak burasak dengan jumlah yang banyak. Mungkin apabila saya telah menjadi nenek (jika dipanjangkan umur), saya akan 'cuba memasak burasak atau lemang' atau at least, bercerita tentangnya. *grin* Semoga warisan turun temurun ini tidak pupus dilupakan oleh anak cucu selepas ini. Ameen.

..dan inilah sedikit perkongsian dari seorang yang mempunyai campuran darah Bugis. *smile*