Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah : 155-156)

04 October 2011

Belajar Dari Mesir

Musim kedatangan pelajar baru telah tiba. Saya yang masih dalam musim exam ditambah lagi sudah dalam golongan 'pelajar yang tidak lama lagi akan meninggalkan Mesir' (inshaAllah) menjadikan saya agak tidak teruja untuk menceritakan tentang Mesir keseluruhannya. Namun, di kesempatan masa senggang sempena tamatnya exam Perubatan (Internal Medicine), mahu rasanya saya berkongsi apa yang saya pelajari dari Mesir sejak saya telah berada di Mesir selama hampir 5 tahun berhempas pulas berusaha menamatkan setiap peringkat pengajian ini. Bagi mereka yang masih baru di Mesir dan hanya berminat mengetahui sudut teknikal kehidupan di Mesir, tulisan ini tidaklah menjurus kepada bahagian itu. Post kali ini lebih kepada sudut falsafah dan pandangan umum saya selama berada di Mesir. Oleh kerana tempoh berada di Mesir ini agak panjang, maka banyak pula yang saya pelajari sebanyak yang saya tulis. hehe

hospital yang memberi begitu banyak pelajaran dan kenangan

1. Merasa syukur dengan yang sedikit, juga dengan yang banyak

Perkara pertama yang mula saya rasai sebagai pelajar warganegara Malaysia yang perlu belajar di Mesir selama 6 setengah tahun adalah syukur. Saya cukup rasa bertuah kerana saya terpilih sebagai salah seorang yang merasai 2 suasana negara-negara sedang membangun yang berbeza, Malaysia dan Mesir. Saya merasai betapa Malaysia penuh dengan segala kemewahannya dan Mesir yang dilihat banyak kekurangannya menyebabkan saya sebenarnya menghargai kedua-duanya.

Dahulu saya selalu mengeluh dengan keadaan Malaysia yang penuh dengan kerenah birokrasi ketika pengurusan pejabat, banyaknya sampah yang tidak terurus, sikap mementingkan diri antara jiran tetangga dan sebagainya.

Kemudian, saya berada pula dalam sistem Mesir yang tidak menepati janji, korupsi berleluasa, sampah sarap di merata tempat dan segalanya 'asal boleh'. Betapa Malaysia ketika itu menjadi negara terbaik di hati saya dan perasaan mahu segara pulang ke Malaysia secara kekal membuak-buak.

Saya mula memproses perasaan agar tidak banyak mengeluh dengan sedikit kekurangan ketika di Malaysia dan tidak pula terlalu mempertikai dengan segala kemudahan ketika di Mesir. Saya menyedari bahawa bukan salah keadaan yang membuatkan kita menderita, tetapi perasaan dan mindset sebenarnya masih dalam pilihan kita. Samada kita mahu belajar bagaimana membuat pilihan dan berjaya membuat keputusan untuk bahagia atau membiarkan sakit hati dan menderita. Bukankah kebahagiaan adalah impian semua?

Namun itu tidak membuatkan saya rasa selesa dengan kedua-duanya. Saya masih berharap yang terbaik dari kedua-duanya. Saya masih berharap ada perubahan kepada yang lebih baik dari kedua-dua negara dan suasana. Dan saya perlu lakukan sesuatu bukan hanya duduk menerima segalanya!

Tanpa melihat keadaan Mesir yang begini, saya susah untuk rasa bersyukur dengan situasi di Malaysia. Tanpa berada di Mesir, saya tidak tahu bagaimana untuk belajar semua ini.

2. Mesir - Ummuddunya (Ibu dunia)

Bagi yang belum mengetahui banyak tentang Mesir, Mesir adalah salah satu negara yang disebut dalam al-Quran. Kisah Mesir dikaitkan dengan 2 jenis manusia iaitu Firaun dan Nabi Musa AS. Firaun adalah manusia yang dilaknat Allah sebaliknya Nabi Musa AS pula manusia yang dianugerahkan Allah segala keajaiban hingga diberi peluang melihat Allah.

Maka, bertitik-tolak dari sejarah ini, sebenarnya di Mesir terkumpul segala jenis manusia. Dari yang mempunyai personaliti Firaun hinggalah yang sebaik-baik Nabi Musa AS dan tidak ketinggalan pelengkapnya Nabi Harun AS. Saya yang memang asalnya suka mengkaji dan memerhati tentang psikologi manusia sudah tentu mengambil peluang keemasan ini dengan belajar dengan keduanya. Belajar supaya menilai yang mana sikap yang boleh dicontohi, yang mana sikap yang harus dibuang dan tidak lupa juga bagaimana bergaul dengan kedua-dua jenis manusia ini. Malah, keberadaan di Mesir juga memberi peluang terbesar untuk saya melihat kesan hasil perbuatan kedua-dua golongan ini.

Dari sini juga baru saya belajar dan menyedari, menjadi neutral atau tidak berpihak dengan mana-mana kutub pemikiran serta menerima semua pandangan dan pegangan bukanlah satu tindakan yang bijak dan betul. Silap memilih dan menilai atau tidak langsung menilai sebenarnya merosakkan kehidupan. Apatah lagi demi kehidupan selepas kematian. Mengapa perlu takut membuat pilihan atau tersalah pilihan sedang kita sebagai Muslim dibekalkan sebaik-baik petunjuk ke arah kebenaran iaitu al-Quran? Mengapa perlu keliru dengan pelbagai fenomena kehidupan sedang kita mempunyai pelbagai sumber sahih yang membantu kita membuat keputusan? Bukankah teladan Rasul SAW menunjukkan begitu banyak cara menyelesaikan masalah kehidupan? Kenapa masih ragu-ragu untuk mengikut cara Baginda sedang kita mengaku kita adalah Muslim?

3. Berbuat baik dan bersabarlah

Tahun-tahun awal saya di Mesir melihat diri saya yang begitu skeptik dengan masyarakatnya. Saya begitu mudah panas baran dengan bayaran teksi yang melampau, sistem pentadbiran universiti yang tidak seteratur dan secanggih Malaysia serta kerenah penyewa rumah yang mengharapkan bayaran yang lumayan. Tanpa saya sedari, saya mula menanam beberapa sikap 'Firauniyyah' demi kepentingan saya membuatkan saya mula bertindak melampau dan dilihat menzalimi orang lain.

Namun semuanya menyedarkan kesilapan saya apabila saya membaca buku bestseller 'Taxi' karangan Khaled Al-Khamisi (translated into English). Bahawa rakyat Mesir adalah mangsa kepada sebuah kerajaan yang menekan rakyatnya sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja (menipu hampir dilakukan oleh ramai dari mereka) demi menyara hidup. Sudahlah begitu, sistem pendidikan yang terbaik hanya untuk mereka yang kaya-raya. Oleh itu, mereka yang berpendidikan tinggi, beradab dan berakhlak baik seolah-olah tidak akan lahir dari golongan yang sederhana apatah lagi golongan miskin.

Saat itulah saya benar-benar rasa bersalah dan tersedar bahawa rakyat Mesir berkelakuan begini kerana sebab-sebab yang menekan hidup mereka. Rupa-rupanya banyak yang saya tidak tahu. Betapa teruknya saya turut bersikap seperti mereka malah mungkin lebih buruk dari mereka sedang saya dalam keadaan yang cukup selesa !

Melihat kembali pada sirah Rasul SAW sendiri, Baginda sering membalas setiap kejahatan yang dilakukan orang terhadap Baginda dengan kebaikan-kebaikan. Di situ jelas terlihat misi Baginda sebagai Murabbi dan sekaligus Daie. Maka, saya belajar untuk menahan marah, memujuk hati dan memaksa senyuman (dan belajar buat lawak juga !) setiap kali ada masalah-masalah pengurusan. Saya juga belajar strategi-strategi bagaimana berurusan dengan masyarakat Mesir agar kehendak saya dipenuhi tanpa menyakitkan sesiapa walaupun tanpa suapan duit.

4. Waktu pagi adalah waktu orang baik-baik

Bagi yang sedang berada di Mesir, kedai-kedai yang dibuka hanyalah kedai roti dan beberapa kedai runcit kecil sahaja. Hatta kalau ke pasar tani (suuq) seawal 8 pagi pun masih ada sayur-sayur yang belum tersusun, ayam-ayam yang belum diproses bahkan ada banyak gerai yang belum dibuka. Namun begitu, ketika inilah waktu paling sesuai bertemu dengan pakcik teksi yang baik-baik, pakcik kedai yang dedikasi dan pasangan suami isteri yang tenang sedang bersiar-siar menghirup udara pagi tanpa dicemari asap. Sebaliknya, petang di Mesir adalah satu masa keluarnya manusia tamak haloba, tergesa-gesa dan panas baran. Sudahlah bangun pagi pun lambat, sanggup pula marah-marah kalau ditegur tentang kerjanya atau tidak dapat bayaran yang lebih. Sakit jiwa !

5. Hakikat kebenaran

Untuk tajuk ini, saya tidak berminat untuk bercerita panjang kerana ia lebih berkisar masyarakat Melayu di Mesir dan berkaitan pelbagai kumpulan dakwah yang terdapat di Mesir. Apa yang saya pelajari dari perkara ini, saya menyedari setiap apa yang difahami, dipraktikkan dan dipegang dalam hidup sangat terdedah kepada kesalahan dan pertikaian kerana manusia hakikatnya begitu lemah untuk melihat lebih jauh dan menilai. Maka, apa yang mampu manusia lakukan adalah dengan bergantung kepada sumber wahyu dari Pemilik kebenaran, belajar tentangnya dan percaya dengannya. Hakikatnya kita benar-benar mengetahui di pihak mana kita berada hanya ketika akhir amalan kita ditimbang di Mizan dan seterusnya hal ini membuatkan kita lebih berhati-hati agar lebih banyak timbangan kebaikan terisi dari mengumpul timbangan kejahatan dengan dosa yang bertambah hanya kerana sikap angkuh dengan pegangan kita ketika di dunia. Astaghfirullah.

6. Menilai dan membuat pilihan

Apa yang saya belajar dari Mesir, nilaian dan pilihan sangat memerlukan iman dan ilmu. Seperti yang saya ceritakan di atas, saya telah menghukum semua rakyat Mesir adalah kasar dan jahat-jahat belaka kerana saya tidak tahu struktur kehidupan mereka yang sangat teruk lantas saya bergaduh dan berkasar dengan mereka. Bukankah lebih baik jika saya bersabar dan cuba melakukan sesuatu agar saya dan mereka tidak terus mengumpul dosa?

Namun, ini tidak menunjukkan bahawa saya setuju 100% pernyataan 'dont be judgemental' sedang dalam sheet Psychiatry sendiri, the ability to judge adalah salah satu indikator seseorang itu sihat dari sudut psikologi. Judging di sini lebih membawa maksud menilai. Hilang keupayaan menilai, maka hilanglah satu fungsi normal pemikiran manusia. Kerana itulah penilaian memerlukan ilmu, perlu belajar untuk menilai berdasarkan sumber yang paling benar dan sudah tentulah sumber itu datangnya dari Pencipta manusia. Dari sumber inilah kita tidak perlu ragu-ragu andai kita benar-benar mengikut nilaian yang dicontohkan dalam al-Quran. Kita tidak akan ragu-ragu bahawa bersikap seperti Firaun, Bani Israel, Samiri dan Munafiq adalah salah begitu juga sebaliknya. Awas, penilaian ini bukan bertujuan untuk menghentam dan memburukkan orang lain, tetapi ia lebih kepada memperbaiki diri sendiri dan orang lain dalam lingkungan adab dan akhlak yang telah dipelajari. Bukankah setinggi-tinggi nilaian terbaik dalam al-Quran adalah Taqwa yang juga bermaksud berhati-hati dalam segala tindakan diri dari terjerumus dalam dosa?

7. Mengutamakan yang utama dan tidak memandang rendah pada hal yang kecil

Saya membandingkan hal-hal rumit ketika membuat medical check-up di Malaysia dan yang begitu mudah di Mesir. Saya begitu terkagum dengan sikap masyarakat Mesir yang satu ini yang begitu ringkas dalam kehidupan di sebalik rasuah dan pelbagai kerenah yang lain. Bayangkan, ketika saya membuat medical check-up untuk lesen memandu, tidak ada CXR, tidak ada pemeriksaan badan dan keperluan-keperluan lain seperti di Malaysia. Yang diperlukan hanyalah tandatangan doktor yang bertugas dari setiap jabatan dan cop mereka. Kemudian selesai ! Sudah tentulah orang yang sanggup berulang-alik ke beberapa jabatan meminta tandatangan dan cop tersebut sihat tanpa sebarang masalah kesihatan yang serius. Tergelak saya bila memikirkan semula hal ini.

Berlainan dengan warga Malaysia yang begitu mengambil peduli dengan perkara-perkara kecil seperti kualiti barangan, kebersihan atau pembungkusan, rakyat Mesir lebih selesa dengan perasaan 'asal sudah ada'. Jika mahu yang lebih cantik atau lebih tahan lama, perlulah membayar lebih atau menunggu lebih lama.

Teringat ketika saya mahu menukar bungkusan gula kerana terkoyak sedikit. Saya ditegur oleh pakcik kedai, "Orang Malaysia memang tengok semua benda ke?" Saya hanya menjawab,"Kami sentiasa mahukan yang terbaik!" dan beliau diam mengiakan. Pada waktu yang lain pula, saya ditegur bersin tidak mengucapkan Alhamdulillah dengan kuat kerana pakcik kedai mahu mendoakannya sedangkan hal itu bagi saya 'what a big deal' ? Ah, ada sahaja perkara kecil yang saya kira besar dan ada perkara besar yang saya kira kecil. Banyaknya yang saya tidak tahu !

8. Kepentingan kemahiran komunikasi dan bahasa

Saya juga dulu begitu marah andai perkara yang dijanjikan dengan orang Mesir tidak dapat seperti yang saya mahukan. Tetapi apabila saya mula menginjak ke tahun 5, apabila saya sedikit sebanyak memahami gaya bahasa mereka dan kebiasaan mereka, saya menyedari betapa begitu banyak salah faham antara saya dan mereka. Saya sebenarnya tidak tahu apa yang mereka faham lantas saya membiarkan perjanjian berlaku mengikut sangkaan dan pemahaman saya. Akhirnya, apa yang sebenarnya berlaku mengikut pemahaman mereka dan menyalahi kehendak saya.

Bagi mengelakkan perkara-perkara seperti ini berulang, saya sering meminta kepastian setiap kali membuat sebarang perjanjian dan tempahan. Bahkan, saya pernah meminta mereka menulis apa yang mereka fahami dari penerangan saya supaya tidak ada pertikaian selepas itu. Nasib baiklah warga Mesir kebanyakannya sangat ramah dan sanggup melayan kerenah saya ! Ketika itulah saya merasai betapa pentingnya menguasai bahasa sesuatu masyarakat demi memastikan segala urusan hidup selesai dengan baik. Saya juga menyesal menyalahkan warga Arab Mesir kononnya mereka penipu sedangkan masalah datang dari saya yang tidak memahami kebiasaan mereka dan tidak menguasai bahasa mereka ! Astaghfirullah !

9. Kuasa Do'a

Kerapkali juga saya terfikir kata-kata ramai orang bahawa berdo'a di Mesir sering mustajab. Namun bagi saya, saya sebenarnya lebih kerap berdo'a ketika saya di Mesir memandangkan saya mempunyai masa dan kemampuan yang sangat terhad untuk mendapatkan sebarang pertolongan. Berbanding ketika di Malaysia, saya terlalu banyak pula bergantung kepada sebab-sebab dan kemungkinan-kemungkinan yang ada menyebabkan saya kurang berdo'a. Ketika inilah, waktu-waktu berada di Mesir, saya merasai betapa do'a saya begitu didengari dan kebanyakannya dimakbulkan dengan kadar segera ! (kadang-kadang agak menakutkan juga bila doa'-do'a ini begitu cepat termakbul membuatkan saya lebih berhati-hati membuat doa..)

Tambahan lagi, jika mahu do'a yang lebih dari orang lain, hulurkanlah sedekah dan berbuat baiklah. Rakyat Mesir, tidak kira pengemis, orang biasa atau profesor di universiti sekalipun begitu pemurah dan bibir mereka sentiasa terlantun do'a-do'a !

10. Kefakiran dan kejahilan membawa kepada kekufuran !

Beberapa bulan lepas, saya bersembang dengan seorang pakcik yang banyak membantu saya dalam urusan-urusan hidup di Mesir. Saya mengadu, mengapa rakyat Mesir begitu teruk, mengapa sampah di merata tempat dan mengapa sistem Mesir sangat menyedihkan. Saya memarahi  kerajaan Mesir yang sepatutnya bertanggungjawab tentang ini semua. Namun respon beliau membuatkan saya begitu tersentuh. Katanya, kebanyakan warga Mesir sebenarnya mempunyai tahap pendidikan yang begitu rendah. Hanya orang-orang kaya sahaja dapat ke sekolah yang baik dan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ini tidak termasuk lagi orang-orang kaya yang tidak mahu ke sekolah. Katanya lagi, pendidikan adalah asas kepada semua ini. Andai seluruh masyarakat Mesir terdidik dengan adab yang baik, pengetahuan yang benar dan penilaian yang betul, pasti keadaan Mesir akan berubah ke arah yang lebih baik.

Saya lebih-lebih bersetuju dengan point beliau tatkala terlihat seorang pengemis yang menjadi punca berseleraknya sampah di tempat pembuangan sampah yang menyelongkar plastik demi mendapatkan tin-tin dan botol-botol kosong untuk dijual. Andai pengemis itu diajar dan dididik supaya meletakkan sampah semula ke tempatnya, Mesir mungkin tidak akan mempunyai pemandangan yang ada sekarang !

Kemudian, teringat pula isu Hudud di Malaysia dan banyak isu-isu lain yang secara jelasnya membuatkan saya berkonklusi bahawa ada sesetengah pihak tidak belajar tentangnya dan tidak cuba memahami situasi dari sumber yang sebenar. Saya secara persendirian begitu kesal kerana pendidikan Islam yang sebenar tidak benar-benar sampai pada golongan tersebut. Mungkinkah Malaysia sebenarnya kekurangan orang yang sanggup bekerja semata-mata memberikan pemahaman dan gambaran sebenar kepada masyarakat hari ini ? Atau sebenarnya kita tersalah cara dan strategi dalam membawa Islam sedang Malaysia hakikatnya tempat yang subur dengan badan-badan dakwah Islami ?

Wallahu'alam. Dari 10 perkara yang saya pelajari ini, saya ringkaskan solusi dan tindakan saya selepas ini dalam 3 perkataan, saya mahu Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. Saya terlalu banyak menulis dan bercakap sebenarnya, oleh itu saya perlu lebih banyak melakukan kerja. Semoga Allah menerima amal saya dan amal semua yang membaca post saya yang juga bekerja demi kehidupan selepas mati. Ameen.

Dan ketahuilah, Mesir tidak pernah meninggalkan saya dalam sehari tanpa sebarang perkara-perkara baru untuk dipelajari !

Dengan ini, saya mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru Malaysia ke Mesir. Semoga berjaya membuat pilihan dan memperolehi bahagia yang sebenar ! Marilah kita semua sama-sama terus belajar dari Mesir ! :)

10 June 2011

Manusia Tanpa Dosa

Esok adalah minggu ketiga saya berada dalam round Neuropsychiatry. Salah satu subjek Special Internal Medicine. Tiada apa yang menarik untuk dikongsikan walaupun sebenarnya subjek ini terlalu menarik bagi saya. Ya, manusia kan 'separuh' subjektif? *grin*


Hari terakhir minggu lepas berdepan dengan kes mania. Ini bukan kali pertama saya berhadapan dengan pesakit psychiatry. Pertama di Hospital Baling, mania juga, kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 12 tahun. Kedua di hospital yang sama, lelaki dewasa tetapi saya tidak tahu dia didiagnosa sebagai apa. Dilihat dari luar mungkin depression dan mungkin juga Schizophrenia. Ketiga di Hospital Kuala Lumpur, lelaki dewasa, depression.

Kadang-kadang ada luahan perasaan yang perlu didengari. Sebelum semuanya terlambat.

Kalau round Kanak-kanak atau Pediatrics tempoh hari saya bertemu kanak-kanak dan bayi comel yang kesian, di round terkini saya bertemu dengan orang dewasa yang kesian. Mereka sakit. Tetapi mereka masih mempunyai hak-hak yang perlu dipenuhi. Hak-hak untuk disayangi, diberi sokongan setiap masa dan dilindungi. Malah mereka ada hak untuk tidak dipergunakan, tidak menjadi bahan ketawa dan tidak diseksa sepertimana pesakit-pesakit lain.

Sekadar berkongsi satu hadis,

: رفع القلم عن ثلاثة
عن المجنون المغلوب على عقله حتى يبرأ
و عن النائم حتى يستيقظ
و عن الصبى حتى يحتلم 

"Ada tiga golongan manusia yang telah diangkat pena darinya (tidak diberi beban syari'at) yaitu; orang yang gila sampai dia sembuh, orang yang tidur sampai dia terjaga, dan anak kecil sampai dia baligh." 
(HR. Abu Daud dan lainnya, hadits shahih)

Mereka adalah golongan menarik seperti kata-kata Dr. Rehab pada kelas terakhir, "Manic patients are infectious". Walaupun sebenarnya penat melayan pesakit yang bertenaga ini, tetapi sekurang-kurangnya, hati  menjadi riang dan gembira dek melihat mereka. Bukankah hati gembira dan hidup yang seronok (tanpa dosa dan keseronokan yang membawa padah) meningkatkan sistem imuniti?

They are unique people who are physically-totally healthy but just mentally and psychologically unfit to perform their functions as a human!

Mereka masih gembira tetapi mereka sebenarnya sakit. Mereka menderita kesakitan jiwa yang sukar difahami sebab dan puncanya. Malah tiada rawatan yang dapat menyembuhkannya secara penuh. Kita yang berlonggokan tanggungjawab ini masih juga mengeluh dengan kehidupan sedang kita sihat dengan rezeki yang melimpah-ruah dalam pelbagai bentuk. Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Dalam kita sibuk dengan kehidupan ini, sebenarnya penyakit jiwa atau mental ini semakin menular dalam masyarakat dan bakal menjadi penyakit nombor 1 dunia pada masa akan datang. Adakah dunia kini dipenuhi dengan tekanan yang keterlaluan disamping lebih banyak kemudahan tercipta? Atau adakah kita salah memberi harapan dan akhirnya kecewa kerana ada usaha yang tidak berhasil? Atau kita sebenarnya salah mengambil cara dan jalan hidup yang merawat penyakit ini? Atau adakah kita salah mentafsir dan melihat dunia?

Wallahu'alam. Post kali ini lebih banyak memberi ruang untuk mengkoreksi diri. Penyakit otak dan saraf terlalu misteri kerana minda dan jiwa adalah kelebihan manusia yang mengatasi haiwan. Terkagum dengan ciptaanNya. Betapa diri ini sepenuhnya di tangan Dia..

03 June 2011

Do'a Sang Peminta Sedekah

Sejak kebelakangan ini kerap mendengar respon ini :


"Kamu tak rasa apa yang saya rasa sekarang. Kamu tak berada dalam keadaan saya!"

Terutamanya apabila ditegur tentang couple, meniru dalam peperiksaan, mencuri, atau apa sahaja kesalahan yang dilakukan oleh manusia pelbagai jenis.

Dan baru-baru ini, istilah yang mempunyai maksud yang sama juga digunakan dalam Mental Examination (abstract and concrete thinking) untuk pesakit mental (psychiatric patient) :

 الإيد في المياه مش زي الإيد في النار

atau dalam Bahasa Inggerisnya (lebih kurang maksudnya) : You are not in my shoes!

Baru-baru ini, ditambah lagi dengan keadaan Mesir yang kurang stabil, peminta sedekah dan penjaja bersepah-sepah di sekitar hospital Universiti Tanta. Ketiadaan polis untuk menghalang urusan mereka menyebabkan aktiviti mereka berleluasa. Yang menjadi 'mangsa' para peminta sedekah ini ialah pelajar-pelajar Malaysia dan tentunya saya dengan kata-kata, "Hagah Lillah" atau "Sa'iduuni" atau "Ana Maridh, Mihtag 'Ala El-'Elag" dan macam-macam lagi.

Kadang-kadang dihulurkan segenih dua.
Kadang-kadang kalau pulang dari mat'am (dewan makan) dapat sekotak jus dan sebiji limau, dihulurkan antara kedua itu.
Kemudian dibalas dengan do'a yang menarik hati seperti, "Rabbina Yuwaffaqku" atau "Rabbina Yunaggahku" atau "Rabbina Yiftah Qalbik".

Kadang-kadang kalau tiada duit pecah, hanya berlalu dengan ucapan, "Allahu Yusallimik". Lantas, mereka hanya berlalu pergi tanpa do'a-do'a.

Kadang-kadang kalau tengah bad mood, berlalu sahaja menepis tangan-tangan yang seolah-olah memaksa kita memberikan sesuatu.

Salah siapa sebenarnya?

Kita tidak pernah berada dalam keadaan mereka. Tidak pernah merasai kesusahan dan kepayahan hidup mereka. Tidak pernah berfikir bahawa berapa genihlah yang mereka dapat sehari demi sekeping 'isy.

Kadang-kadang terfikir, andaikata saya pergi mendekati mereka dan menyuruh mereka mencari upah dengan bekerja (kerana kebanyakannya masih ada tubuh yang sihat dan kuat), kemungkinan saya akan dibalas dengan kata-kata di atas. "Awak tak tahu keadaan saya. Awak tidak merasai betapa susahnya hidup kais pagi makan pagi seperti saya!".

Saya pasti terkedu. Saya juga kadang-kadang mengeluarkan alasan yang sama.

Mereka hidup di negara diktator. Mereka tidak punya peluang untuk ke universiti. Mereka tidak punya rumah. Keperluan mereka tidak pernah cukup. Mereka tidak punya segala yang saya punyai. Mereka tidak sama dengan saya. Kemudian, saya menyuruh mereka mencari upah bekerja pula?

Yeah, I'm not in your shoes.

Lantas, apa yang perlu saya lakukan?

Diam dan terus berlalu? Diam dan menghulurkan apa yang ada? Membiarkan sahaja mereka memaksa orang lain memberikan duit atau apa saja kepada mereka? Biarkan dan biarkan? Itu tanda saya memahami mereka? Atau saya perlu merasai apa yang mereka rasai itu agar saya sedar saya tidak patut menyuruh mereka bekerja dengan usaha sendiri?

Apa jawapan yang perlu saya ucapkan sebenarnya? Saya tidak mahu hidup seperti mereka dan saya tidak mahu mereka terus hidup sebegitu tanpa sebarang kemajuan diri. Manusia sifatnya membangun dan meningkat. Mereka juga manusia. Mereka boleh berubah!

Tolonglah. Bukankah kamu ada tenaga dan tidak kudung? Kamu boleh dapat upah dengan hanya bekerja buruh. Biar sedikit, andai dikumpul akan menjadi banyak. Kalau mahu duit berganda, berniagalah secara kecil-kecilan. Yang penting, lakukan perubahan! Berfikirlah untuk melakukan perubahan! Kamu hanya memerlukan kemahuan dan usaha yang kuat!

Hanya do'a untuk orang lain yang memberimu hanya segenih dua tidak akan merubah apa-apa melainkan lebih banyak motivasi untuk orang yang telah berduit itu!

Sebenarnya, respon ini tidak lebih hanya untuk menjustifikasikan kesalahan atau kelemahan yang kita lakukan. Kita tidak mahu berubah. Kita tidak cuba untuk berubah. Kita mempunyai sebab-sebab (yang kita rasa cukup kuat) yang membuatkan kita layak untuk melakukan kesalahan itu. Kita hakikatnya selalu begitu.

Kita sebenarnya lebih cenderung bersikap selesa. Selesa dengan kesenangan. Selesa dengan hawa nafsu. Sukar menerima teguran. Sentiasa mencari alasan. Susah membuat perubahan. Maka keluarlah ayat berharga yang mampu mematahkan hujah-hujah orang yang menegur kita. Lalu kita terus merasa senang dengan keadaan semasa dan berada di titik yang sama.

Teringat kata-kata hukama':
The people who accept criticism are the ones who are genuinely interested in self improvement.
Jika mahukan perubahan hidup, berjuanglah. Berjuang dan hidup susah. Lakukan perubahan. Tidak perlu memberikan alasan seolah-olah kita lebih mengetahui keadaan diri kita dari orang lain. Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk diri kita. Dia tidak akan menguji seseorang dengan apa yang tidak mampu dia hadapi. Jangan sombong kerana alasan itu hanya sepotong ayat kemalasan dari orang yang lemah dan tidak mahu berubah. Juga satu diagnosis untuk penyakit tidak dapat menerima kritikan dengan baik.

Inilah panjang lebarnya ayat-ayat untuk Si Pengucap ayat "You're not in my shoes."

Untuk Si Penerima, bersabarlah. Si Pengucap adalah sumber pencetus ilham-ilham dan pelbagai cara baru untuk terus diajak. Dia masih belum sedar dan kamu tidak perlu menjadi seperti dia dan hanya diam. Teruskan usaha kerana kadang-kadang kita masih belum terjumpa jalan terbaik agar dia keluar dari kesalahan dan kelemahannya yang lama. Dan mungkin ada kesalahan dari kita juga. Si Penerima mungkin pernah suatu ketika mengucapkan ayat yang sama seperti Si Pengucap.

Dan akhirnya, kedua-dua saranan adalah untuk diri saya. Mungkin untuk manusia lain juga, tetapi tangan yang menulis lebih dekat dengan mata yang melihat. Semoga do'a-do'a Sang Peminta Sedekah di sekitar Universiti Tanta dan hospitalnya diterima Allah S.W.T. Semoga kehidupan mereka berubah dengan adanya manusia-manusia yang memotong rantaian penyebaran alasan 'tangan air dan tangan api ini'. Semoga yang terbaik untuk Mesir. Semoga yang terbaik untuk orang-orang beriman dan bertaqwa di seluruh pelusuk dunia!

Ameen. Wallahu'alam bissowab.

P/S: Penat kan dengan dunia? Bilakan tiba masanya saya mengikut jejak langkah Allahyarhamah Jannah?

30 March 2011

After A While

Masa berlalu terlalu pantas kebelakangan ini dan boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan update blog. Tetapi kesan sampingannya ialah banyak perkara seronok dan menarik tidak dapat dikongsi di sini. Mungkin bila ada tablet nanti (doa!) lebih mudah untuk selalu meng'update' blog dengan lebih kerap. Ok, alasan yang tak berkesudahan!


Briefly, it's been awhile after everything happens. Revolusi Mesir. Mencari cinta di Syria dan Jordan. Menunaikan umrah tanpa disangka-sangka. Pulang ke Malaysia tanpa dirancang. Kembali ke Mesir Baru bagi meneruskan rutin harian. Semuanya mengambil masa hampir 2 bulan mengembara. Kadang-kadang perancangan Allah adalah yang terbaik dan penuh hikmah dan hanya disedari ketika sudah melaluinya. Teringat ketika perasaaan penuh dilema untuk pulang ke Malaysia atau hanya ke Mesir ketika di Jordan. Mood spoiler betul!

Boarding pass sepanjang kembara

Giliran ke 8007 untuk pulang ke Malaysia.
Agar menjadi doa untuk menunaikan haji pula!

Sepanjang tempoh 2 bulan itu, sebenarnya banyak yang saya pelajari. Lebih-lebih lagi ketika di SyriaJordan, saya lebih banyak menonton Al-Jazeera untuk mengetahui perkembangan Mesir dan negara-negara Arab sekitarnya (rumah di Mesir kurang menonton kerana tiada TV). Pada waktu itulah saya sedar betapa dunia sangat memerlukan pemimpin yang benar-benar komited dengan Islam. Betapa dunia miskin dengan pemimpin-pemimpin seperti Khulafa' Ar-Rasyidin bahkan mandul untuk melahirkan Sultan sehebat Muhammad Al-Fateh. Hati saya menangis ketika menziarahi Dhorih Imam Nawawi dan Maqam Khalifah Umar Abdul Aziz seolah-olah mahu meminta agar mereka bangun dari persemadian dan kembali memandu dunia dari menuju kehancuran! Mungkin kerana umat hari ini masih belum benar-benar menerima, mengamalkan dan percaya dengan kehebatan Islam sepertimana yang pernah dilakukan oleh umat Islam pada zaman khalifah-khalifah terdahulu. Itu baru proses menerima, mengamalkan dan percaya. Belum lagi diproses untuk menjadi manusia-manusia hebat!

Tempat persemadian Khalifah Umawi yang adil, Umar Bin Abdul 'Aziz
Ya. Itu adalah hikmah terbesar yang berjaya saya kutip dalam perjalanan kali ini. Lihatlah apa yang berlaku kepada negara-negara dunia (terutamanya negara-negara Arab) tanpa pemimpin yang disebutkan di atas. Pecah amanah, jurang taraf hidup meningkat, masalah sosial berlarutan dan entah apa lagi perkara-perkara zalim berlaku. Inilah realiti. Inilah kesakitan rakyat yang sebenar dan saya hakikatnya masih belum berbuat apa-apa. Astaghfirullah!

Mungkin perjalanan kali ini dianggap menyeronokkan tambah lagi apabila dapat menunaikan umrah free of chrage, tetapi hikmah kali ini benar-benar mengubah cara saya berfikir. Saya mula membina kepercayaan betapa perjalanan merentasi negara bukan sahaja membuatkan kita lebih banyak bersyukur, tetapi juga kita diuji bagaimana untuk merendah diri dan mengurangkan rasa riya' dan bangga diri. Saya juga percaya dengan kembara bersama-sama rakan-rakan saya membuatkan saya lebih mengenali sifat dan sikap sebenar sahabat-sahabat sekembara dan widening the networks dengan menziarah sahabat-sahabat yang jauh. Mungkin bagi sesetengah orang hikmah ini adalah perkara biasa yang sudah biasa didengari tetapi percayalah dan mengembaralah kerana dengan itu kita lebih terkesan dengan hikmah-hikmah yang biasa. Dan barangkali akan menambah lebih banyak hikmah lagi yang saya sendiri tidak temui?

Tertampal di mana-mana. Katanya, satu darah, satu jiwa. Satu juga..

Akhirnya, misi pencarian hikmah masih diteruskan. Mesir kini dalam proses mengadaptasi dirinya menghadapi kesan revolusi yang dijayakan oleh rakyatnya sendiri. Mungkin masih belum ada perubahan yang drastik, tetapi apa yang saya perhatikan, kejatuhan Presidennya membina jatidiri yang tersendiri dalam jiwa setiap rakyatnya. Jiwa yang penuh perasaan bebas, penuh harapan dan mahu melakukan yang terbaik tanpa memikirkan kepentingan diri. Satu perubahan abstrak yang tidak mampu dilihat oleh mata fizikal. Jangan memandang rendah Mesir yang seolah-olah tiada perubahan infrastruktur negaranya atau sikap rakyatnya tetapi sedarlah, mengubah dan memimpin sebuah negara yang telah musnah memerlukan proses yang panjang serta perancangan yang benar-benar tersusun. Dan inilah yang cuba dilaksanakan oleh organisasi terbesar dan paling berpengaruh di Mesir yang juga terkenal dengan organisasi yang paling tersusun; Al-Ikhwan Al-Muslimin. Saya sebagai mahasiswa di salah satu universitinya hanya mampu berdoa agar Mesir benar-benar menuju kearah negara yang lebih baik serta berharap agar Malaysia mengambil pengajaran dari sejarah terbaru Mesir ini..

Yang mengharamkannya telah dijatuhkan dan kini mereka bebas memilih

Pulang ke Mesir dengan MAS. Duit rakyat Malaysia yang perlu diinsafi

Inilah saya selepas beberapa ketika. Selepas sudah hampir 20 hari berada di Mesir Baru bagi meneruskan rutin 6 hari seminggu ke kuliah, berhempas-pulas memahami bahasa pesakit untuk mengambil kes, melawan perasaan mengantuk yang 90% nya lebih berkaitan dengan psikologi, kembali bersembang dengan makcik dan nenek untuk urusan perumahan serta cuba melakukan sedikit perubahan diri biarpun tidak begitu memberi kesan yang besar pada masyakarat hari ini. Yang semuanya lebih cenderung saya catatkan secara maya di twitter. Namun, dari sehari ke sehari, pelajaran semakin menarik (walaupun dari ke hari rasa semakin banyak tak tahu..) sehingga tidak sabar rasanya untuk menerima pesakit pertama yang sepenuhnya saya uruskan! *grin*

Full General Internal Medicine Schedule for Malaysian Students

Internal Medicine Hospital of Tanta University
BHT - Bed to Head Ticket - Simple Egyptian People
Terakhirnya, saya berjaya duduk di hadapan laptop dan menulis satu post dengan agak panjang secara hampir spontan sedang kuiz Rheumatoid Arthritis dan Systemic Lupus Erythematosus akan diadakan esok. Dengan penuh harapan ia menjadi salah satu do'a agar saya dapat meneruskan pengajian saya dengan baik, dapat graduate dengan sempurna dan agar hari-hari saya nanti sentiasa dimudahkan dipandu oleh Allah S.W.T. Sepertimana do'a sehari-hari pesakit di Mustasyfa Batnah Gamaah Tanta dan jiwa-jiwa seluruh rakyat Mesir Baru..

Ameen. Wallahu'alam.

P/S : Ada sesuatu yang seronok dan istimewa pada tahun ini tentang diri saya. *senyum sorang2*