Belajar Dari Turki

Bismillah.

Apa yang bakal saya tulis kali ini bagi saya salah satu pengalaman berharga yang telah banyak mengubah cara saya berfikir bahkan sekaligus menetapkan dan menegaskan beberapa paradigma hidup saya. Sebelum ini bukan tidak banyak peristiwa dan pengalaman yang memberi pengajaran sepanjang 25 tahun hidup, tetapi disebabkan hidup saya hanya seputar masyarakat Malaysia dan Mesir, saya mahukan falsafah yang lebih luas dan applicable di peringkat dunia keseluruhannya. Islam itu kan sifatnya menyeluruh dan universal?

Kebelakangan ini juga saya lebih selesa menulis selepas tamat membaca satu atau dua buah buku. Sebenarnya hati sedikit memberontak untuk menulis tentang ini, tetapi saya sedar yang saya kurang pandai menulis dengan isi yang tersusun dan mahu mengimbangkan kesan akal dan emosi terhadap tulisan saya - menyebabkan saya cuba menghabiskan sebuah buku tulisan Salim A. Fillah, Agar Bidadari Cemburu Padamu (hadiah sahabat saya dari Zaqaziq - Nafsah Dulajis). Buku yang tidak henti-henti membuatkan saya tersenyum dan ketawa seorang diri hingga ke akhirnya! hehe

Dunia dan Media Massa

Saya ditakdirkan sebilik dengan seorang sahabat Turki yang juga 'kuat' menulis dalam sebuah majalah pelajar, yang banyak bertanya tentang diri saya dan Malaysia. Ini adalah peluang terbaik untuk saya juga mengorek beberapa aspek penting dan mendapat justifikasi peristiwa-peristiwa terbaru di Turki.

Teman sebilik saya ini meluahkan rasa hairannya terhadap rakan-rakan Muslim lain selain dari Turki yang agak membenci Kamal Ataturk sedangkan bagi mereka sebagai rakyat Turki, beliau adalah 'Bapa Kemodenan', seperti gelaran yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada Tun Dr. Mahathir. Tanya saya semula, bukankah beliau yang menjatuhkan pemerintahan Khalifah Uthmaniah dan memulakan pemerintahan sekularnya dengan segala macam undang-undang negara yang digubal untuk memusnahkan segala kesan Islam di Turki?

Setelah mendapat penjelasan beliau tentang pemerintahan Kamal Ataturk dan sistem pendidikan Islam di Turki, saya berpandangan apa yang berlaku kepada Muslim di Turki diterima oleh masyarakatnya dengan pelbagai respon seterusnya membahagikan rakyatnya kepada beberapa kelompok. Kamal Ataturk hanyalah satu ikon yang mewakili dan memimpin suara sekular yang membarah dalam beberapa kelompok Muslim di Turki sendiri yang juga begitu tidak berpuas-hati dengan pemerintahan Khalifah Islam sendiri. Krisis tidak percaya dengan Islam, kepimpinan Islam yang berpeleseran dan tidak amanah menyebabkan penggulingan kuasa berlaku. Menurut sahabat saya ini juga, setiap pemimpin ada bahagian kehidupannya yang baik dan ada bahagian yang buruk, maka sebenarnya Kamal Ataturk mempunyai sisi beliau yang baik juga dalam membawa sedikit kemodenan kepada Turki. Nasib baik modennya setanding Malaysia, tidak bertukar kepada moden ala Husni Mubarak yang menjadikan Cairo/Kaherah seperti yang dapat anda lihat hari ini !

Panduan hidup yang sebenar adalah ilmu pengetahuan -  K. Ataturk yang boleh didapati hampir di seluruh Istanbul

Secara umumnya, saya lebih takjub dengan segala maklumat yang saya terima dan rasa begitu bersyukur dapat mendengar serba sedikit secara terus dari sahabat Turki saya. Betapa media massa begitu berkuasa hingga mampu menukar sudut pandangan seseorang terhadap seorang pemerintah yang juga mewakili rakyatnya. Kerana hal inilah, betapa perlunya tabayyun atau mendapat penjelasan dari setiap berita dan diterima agar kita tahu perkara mana yang perlu difokuskan dan perkara mana yang perlu difahami dengan lebih lanjut.

Pada asasnya, perkara ini telahpun dipandu dan diajar oleh Al-Quran lagi (Al-Hujurat : 6). Dengan dunia Facebook dan Twitter yang menawarkan pelbagai versi maklumat dan berita, kita begitu mudah keliru dengan segala keyakinan dan pengetahuan yang kita perolehi seterusnya menyebabkan kita ragu-ragu dengan segala keputusan yang telah kita lakukan. Allahu Akbar. Kembalilah kepada petunjuk Al-Quran, sesungguhnya Allah telah berjanji akan membersihkan semua ini khas untuk orang-orang yang yakin yakni Mu'min ! (Al-Baqarah : 213)

Tentang apa yang berlaku pada Turki juga sebenarnya bakal berlaku pada Malaysia jika kita kurang sedar, tidak berhati-hati dan tidak mengambil pelajaran. Beberapa hari lalu ketika Ramadhan setelah mendapat berita bahawa kami pelajar Malaysia tahun akhir Universiti Tanta dibenarkan menjalani latihan HO di Malaysia, saya dihidangkan dengan bacaan bahagian akhir Surah An-Nahl ketika tarawih (sila rujuk) yang membentangkan dan memperlihatkan segala nikmatNya agar saya terus-menerus bersyukur. Dan ayat di bawah ini menjadi penutup kepada point agar kita sentiasa beringat dan berhati-hati dengan segala nikmat agar tidak terjatuh kedalam kekufuran. Jangan lupa, sekular juga salah satu tanda kekufuran bilamana kita tidak mengiktiraf Islam untuk menjadi sistem paksi dalam seluruh sisi kehidupan kita ! It is a vicious circle. Mereka yang tidak tahu tentang sejarah, pasti akan mengulanginya. Belum cukupkah bukti dari Al-Quran?

Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah  memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah  itu, maka Allah  merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. (An-Nahl : 112)

Betapa kehadiran Sultan Muhammad Al-Fateh benar-benar tanda kasih sayang Allah kepada rakyat Turki. Betapa kehadiran Sultan ini bukan sahaja satu kebanggaan zaman-berzaman kepada rakyatnya, tetapi juga agar rakyatnya kembali semula kepada deen dan cara hidup yang indah yang melahirkan seorang Sultan hebat ini lantas menjatuhkan pemerintahan Kamal Ataturk dan kuncunya yang hanya berbangga dengan sistem kemodenan celupan Jahiliyah Barat yang hanya indah luar dari dalam ! Subhanallah !

Bahasa, Ilmu, Tradisi, Wanita dan Perkahwinan - Pakej Penuh Kaitan !

Saya sedikit terkejut apabila mula-mula bertemu dengan sahabat-sahabat pertama saya dari Turki. Terkagum dengan kecantikan dan kemulusan wajah wanita-wanita Turki yang juga lemah-lembut jika dibandingkan dengan wanita-wanita Arab Mesir yang agak kasar dan penuh 'wibawa' itu. hehe Namun, saya juga sedikit terkejut dan agak tidak berpuas-hati apabila berbicara dengan mereka kerana saya agak sukar memahami English mereka dan mereka juga agak sukar memahami English saya. Mungkin kerana Manglish (Malay - English) saya terlalu pekat. Namun, lebih kesal lagi, sahabat-sahabat Turki saya ini tidak boleh membaca tulisan Arab ! Bukan mahu merendah-rendahkan mereka (mungkin juga sementelah saya mampu membaca tulisan Arab dan membaca tulisan Ustaz Hasrizal tentang sahabatnya dari Turki yang sedikit sebanyak boleh bertutur dalam bahasa Arab), tetapi bagi saya, adalah satu kerugian ilmu jika kita tidak menguasai 2 bahasa dunia yang terpenting ; English dan Bahasa Arab. Kerugian besar apabila doktor-doktor hebat menerangkan pembentangan mereka - walaupun slides dan bahasa pengantara adalah English - ramai sahabat Turki yang tidak faham. Kerugian besar apabila nyanyian semangat penuh membara dari sahabat-sahabat negara Arab tidak memberi kesan langsung hanya kerana bahasanya tidak difahami !

Nota : Kebanyakan fakulti perubatan di Turki menggunakan bahasa Turki sendiri sebagai bahasa pengantara utama.

Di sebalik kekurangan-kekurangan ini, saya pasti - selepas kem pelajar ini - sahabat Turki saya ini akan meningkatkan penguasaan bahasa mereka dan lebih berusaha meningkatkan kemahiran diri mereka. Saya pasti, kerana mereka juga banyak belajar dari mereka yang datang dari negara-negara lain. Saya juga pasti, mereka hanyalah sebahagian kecil dari rakyat Turki, tidak menggambarkan keseluruhan wanita Turki yang mengambil bidang Perubatan, maka saya yakin masih ada sebahagian dari mereka yang mampu berbahasa dengan 2 bahasa penting ini dengan lebih baik. Cuma mereka tidak diizinkan oleh Allah untuk bersama dalam kem pelajar ini dengan saya, wallahu'alam.

Pada saya, kekurangan ini bukan masalah sikap dan peribadi mereka. Kekurangan ini adalah hasil pemerintah dan kondisi politik sekular Turki yang bukan sahaja tidak membenarkan mereka bertudung sebagai lambang Muslimah, bahkan pendidikan Islam juga tidak pernah wujud dalam silibus sekolah-sekolah mereka. Mereka hanya belajar solat, puasa, membaca Al-Quran dan fardhu 'ain yang lain hanya secara tidak langsung dari masjid-masjid dan amat bergantung kepada kesedaran sesebuah keluarga. Hasilnya, Islam hanyalah agama warisan yang diajarkan turun-temurun, tradisi keluarga yang banyak dimainkan oleh para wanita yang mempunyai peranan paling utama dalam pendidikan anak-anak dan pengurusan rumah-tangga. Mujur Malaysia mempunyai kondisi pendidikan Islam yang lebih baik (walaupun masih belum terbaik) yang mana Islam diterima sebagai sebuah disiplin ilmu yang perlu difahami dan dipelajari dengan cara yang betul dari sumber yang betul sekaligus dijadikan pula silibus utama dalam sistem pendidikannya. Mujur juga sistem pendidikan Malaysia tidak membezakan antara lelaki dan perempuan. Agar perlaksanaan Islam itu tidak hanya diterima sebahagian dan ditolak pula sebahagiannya mengikut apa yang disukai. Agar pemakaian tudung yang para wanita Muslim pertahankan bukanlah sekadar hak mengekalkan tradisi, tetapi juga hak kebebasan sebenar dalam memilih jalan hidup terbaik. Alhamdulillah.

Menyentuh soal wanita pasti menyentuh soal perkahwinan. Perkahwinan dilihat menjadi paksi terpenting dalam kehidupan seorang wanita. Bahkan pada malam terakhir di Kefken, kami sebagai peserta kem ini diraikan dalam sebuah majlis simulasi perkahwinan. Sudah tentu perkara ini tidak berlaku di bahagian lelaki yang lebih berminat dalam kerja dan sukan. Simulasi keraian yang mirip keraian bangsa Arab dengan malam berinai dan pakaiannya, menggambarkan betapa sahabat-sahabat wanita Turki saya ini (yang kebanyakkannya lebih muda dari saya) sangat mengambil berat soal perkahwinan. Bahkan salah seorang dari mereka telah memberikan 2 nasihat perkahwinan kepada saya ! huhu

Sebenarnya, isu sensasi tentang perkahwinan memang isu yang sentiasa relevan bagi setiap wanita dunia. Pernah saya dan delegasi dari Malaysia ditanya tentang sebuah mitos yang pernah mereka dengar tentang mahar wajib wanita Malaysia iaitu membawa isteri menunaikan haji. Walaupun hal ini dinafikan tentang kewajipannya, ia adalah satu peluang yang sangat baik apabila telah bergelar isteri bagi mereka ! Saya juga bersetuju tentang ini, tetapi perlu diingat, kewajipan haji hanya pada yang mampu. Takkan kerana tidak mampu menyara urusan haji langsung tidak boleh berkahwin, apatah lagi hendak membiayai kos kenduri yang berjumlah puluhan ribu pada zaman ini, kan?

Hakikat yang baru saya sedari, perkahwinan boleh menentukan masa depan seorang wanita. Dalam Islam sendiri, kehidupan dunia dan akhirat seorang isteri begitu bergantung pada suaminya. Kerana inilah, perkahwinan memang sepatutnya dijadikan fokus oleh wanita. Perkahwinan melindungi wanita, membantu seorang wanita membuat keputusan-keputusan hidup dan juga menambah lagi sebuah keluarga baru dalam masayarakat. Untunglah jika suaminya soleh, ditambah lagi dengan ciri-ciri spesifik dari saya berkaitan hal ini iaitu membenarkan dan menemani saya menjelajah dunia mendalami ilmu sebagai pakar dan juga part menunaikan haji itu. hehe Sedih sungguh andai saya tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran atau menimba pengalaman lebih jauh sepertimana yang berlaku kepada kebanyakan wanita Turki yang tidak dibenarkan musafir oleh keluarga dan suami mereka. Wallahu'alam. Mungkin ada hikmah yang lebih besar, saya kurang tahu..

Nota : Ustaz Salim A. Fillah tidak pula membahaskan tentang safar mar'ah ini, tetapi teringat pandangan Ustaz Hasrizal tentang pentingnya wanita untuk kekal tinggal di rumah sahaja. (baca : Secangkir Teh Pengubat Letih)

Orthopedic VS Psychiatry

Ketika mengikuti kem pelajar ini, saya sedikit terkilan apabila layanan oleh pihak pengurusan 'dilihat' melebihkan pelajar lelaki dari pelajar perempuan. Pengurusan penempatan dan lawatan yang agak kelam-kabut serta kedudukan di bahagian paling belakang ketika sesi akademik yang menyebabkan saya tidak mendengar lebih jelas cukup membuktikan perbezaan gender ini. Saya sedar bahawa jumlah peserta perempuan sedikit dan tidak memerlukan layanan seistimewa mereka, tetapi sekurang-kurangnya saya mahu memperolehi pelajaran dan pengalaman yang maksimum sepanjang berada dalam program yang julung-julung kali ini. Mungkin salah dari saya sendiri juga yang high expectation dengan warga Turkinya..

Pada awal program ini hampir membulatkan tekad saya untuk menjadi Pakar Tulang, iaitu satu bidang yang memerlukan kekuatan dan tenaga yang berterusan atas dasar sedar betapa wanita Muslim hari ini sangat memerlukan kepakaran ini. Namun sebenarnya, semangat sementara ini hanyalah disebabkan saya terlupa sebab utama saya berminat untuk menyambung kepakaran dalam Psikiatri dan terlupa bahawa kekuatan saya sangat terhad berdasarkan nature atau fitrah saya sebagai seorang wanita. Allahu Akbar. Teringat semula ayat paling dibincangkan apabila mahu dikaitkan kelebihan-kelebihan lelaki dan perempuan iaitu Surah An-Nisa', ayat 34.

Di akhir program ini, kesemua peserta perempuan akhirnya diberi peluang bersoal-jawab dengan para Professor yang juga ahli aktif dalam pembangunan pemuda (youth). Ketika inilah saya menyedari, peluang untuk para wanita dalam bidang pembedahan yang banyak didominasi oleh doktor lelaki sebenarnya terbentang luas, cuma kemampuan dan kekuatan seorang wanita sering menjadi tanda tanya melainkan setelah benar-benar dibuktikan. Hakikatnya tidak ramai doktor wanita yang berminat dengan bidang pembedahan apabila mengambil kira tanggungjawab seorang ibu dan nature bidang tersebut sendiri. Pun begitu, future can be anything. Tiada yang mustahil di dunia ini jika kita tetap beriman..

Konklusi dan Solusi Baru

Solusi utama saya tidak berubah, bahkan dikuatkan lagi setelah apa yang saya perhati setelah beberapa hari di Turki. Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. Apa yang berlaku dalam masyarakat Turki hampir sama berlaku dalam masyarakat Malaysia, lebih spesifik lagi kepada warga wanitanya. Saya menekankan warga ini khusus kerana ia adalah golongan terpenting dalam memastikan Islam itu dipelajari secara benar. Mereka adalah tunjang pembentukan tradisi juga faktor paling utama dalam pendidikan anak-anak ; aset penting dalam pembinaan generasi masa hadapan. Amat malanglah jika para ibu dan bakal ibu tidak tahu membaca dan memahami ilmu Al-Quran dan As-Sunnah, apatah lagi hanya mewarisi Islam sebagai tradisi sahaja. Bahkan saya melihat masyarakat wanita di lokaliti saya hampir 50% tidak boleh membaca Al-Quran dengan baik !

Kita tidak mahu Islam diambil sebagaimana agama-agama lain yang pernah disebut dalam Al-Quran, 'agama bapa-bapa dan orang-orang terdahulu kami', kan?

Pada point inilah saya melihat betapa penting wanita diberi peluang (still within limits) dalam bidang keilmuan dan pendidikan. Wanita dibenarkan dengan bersyarat untuk mengembara melihat keadaan wanita di negara lain untuk sedar sekaligus berkongsi serta mengajarkan ilmu yang benar kepada lain. Saya berpandangan betapa pentingnya wanita-wanita Arab atau Mesir sendiri yang banyak belajar tentang Islam dan Al-Quran untuk pergi memberi penerangan tentangnya kepada wanita-wanita di seluruh dunia. Mesir yang berpopulasi begitu padat ditambah dengan tahap keilmuannya yang luas memang sangat sesuai dengan tugas ini. Ada hikmah dengan apa yang terjadi kepada Mesir kebelakangan ini, hehe.

Mungkin wanita hari ini kekurangan individu seperti Saidatina 'Aisyah dan kelompok seperti wanita Ansar. Kebanyakannya menjadi statik setelah berkahwin dan mempunyai anak-anak. Bukan saya tidak pernah menjumpai golongan ini, cuma ia belum menjadi satu fenomena yang universal !

Pada saya sendiri, saya memang terlalu banyak kekurangan dari sudut bahasa dalam penyampaian, apatah lagi perbahasan dan ilmu tentang Islam. Maka tulisan ini sekadar luahan fikiran kerana pada saya masih ada wanita Muslim - wanita Muslim Mesir khususnya - yang mempunyai potensi besar untuk keluar mengajar kepada wanita Muslim di dunia yang lain. Mereka sebenarnya telah memenuhi keperluan sebagai tenaga pengajar apabila melihat semangat, peringkat kepakaran dan penguasaan bahasa mereka sendiri. Saya sendiri pula sejauh yang mampu saya jangkau, akan mula mengambil kira bidang kajian dan pendidikan serta terus-menerus cuba untuk mengutip segala pengalaman dan pengetahuan untuk disampaikan kepada masyarakat. InshaAllah.

Mungkin masa hadapan akan melihat saya sebagai seorang pakar psikiatri sekaligus seorang pensyarah jika Dia mengizinkan umur yang panjang dan kesihatan yang baik untuk saya. Ameen. :)

Nota : Saya lihat sahabat-sahabat Turki saya begitu memberi komitmen kepada Facebook, nampaknya saya perlu meringkaskan perkongsian saya dalam simple English untuk sama-sama dikongsi dan memberi faedah khusus untuk mereka dan umum untuk semua. Mungkin selepas ini saya perlu menulis status saya dalam dwi-bahasa. huhu

Wallahu'alam. Dakwat di blog tidak pernah habis dan tulisan saya akan berkekalan jika diizinkan Allah. Agar semua pembaca mengambil pengajaran dari perkongsian pengalaman ini dan melakukan sesuatu, khususnya kaum wanita yang sejenis dengan saya. Agar kehadiran saya di kem pelajar tempoh hari bukan sahaja memberi manfaat pada saya untuk terus memperbaiki diri, tetapi agar sahabat-sahabat wanita Turki saya juga begitu. Ketahuilah, kekurangan 9 aqal dan lebih 9 emosi itu hanya pada kuantiti, bukan kualiti ! (menukil semula tulisan Salim A. Fillah dalam Agar Bidadari Cemburu Padamu)

Ya Allah, aku bersaksi bahawa aku telah menyampaikan..

Comments

hood@sunny said…
Masha Allah~

Sesungguhnya aku menjadi saksi bahawa engkau telah menyampaikan :')
Anonymous said…
Hi.,adakah anda pelajar malaysia di turkey?
Husna Sani said…
Dear Anonymous. Tidak, saya pelajar di Mesir. Saya ke Turki kerana menghadiri kem pelajar perubatan muslim seluruh dunia.
perfect's prop said…
waahh! MasyaAllah.
Rasa takut pulak nk g sana huhuhu
Sha-na.Szied said…
subahnallah ukti.. mabruk atas tulisan awak yg penuh dengan dalil.. saya nak jd folower la.. tp macam mana leh pergi ke turki tu.. disponser ke.. beruntunglah dapat ke sana walau menghadiri kem..

saya ada ramai sahabat turki juga ketika di maghribi,, tak dinafikan mereka susah nak baca arab.. tp senior2 mereka mmg hebat.. didoakn perjuangan mereka terus menerus dalam menyebarkan islam dan bahasa Arab :)
Anonymous said…
Assalamualaikum akak.boleh saya berhubung dgn akak melalui emel?