The Last Summer, InshaAllah

Jutaan tahmid dipanjatkan untuk Dia yang melimpahkan kasih sayangnya tanpa henti, yang hanya sebahagian darinya sahaja dapat saya sedari dek kerana kelemahan diri yang bertaraf hamba. Dari sebahagian kecil nikmat ini pula, saya sedar bahawa keberadaan saya di Mesir (walaupun hanya 6 tahun) sebenarnya telah banyak menyedarkan saya kepada banyak hakikat-hakikat hidup dan falsafah Islam yang sebenar.

Saya bukanlah penganalisa politik untuk dianggap serius dalam menghuraikan sudut pandang suasana politik di Mesir baru-baru ini, tetapi saya suka jika pandangan saya ini dinilai sebagai satu sudut pandangan dari seorang pelajar biasa yang mahukan yang terbaik dalam hidup, berusaha yang terbaik dan menjadi yang terbaik dengan Islam, untuk Islam yang sebenar. Atau dengan perkataan lain, idealist.


Pertama-tamanya, tidak sama mereka yang pernah hidup dalam Islam yang sebenar dengan mereka yang tidak pernah merasai tenangnya, damainya bersama orang-orang yang ikhlas dalam memperjuangkan cara hidup Islam. Tidak sama juga mereka yang ketenangannya bergantung kepada rumah yang luas dan besar, kewangan yang lebih dari cukup, mempunyai rakan-rakan yang boleh membantu ketika susah dan hal-hal dunia yang lain berbanding mereka yang tenangnya bergantung pada redha Allah. Tahukah kita, Allah sekali-kali tidak redha Agamanya tidak tertegak dan dipertahankan di tempat hambanya berpijak !


Begitulah Mesir pada hari ini. Saya mendapat sedikit privilege dalam mengulas tentang ini kerana saya adalah salah seorang manusia yang berada di ketiga-tiga noktah penting sejarah baru Mesir ; Pre-Revolusi, Peri-Revolusi (sekitar revolusi) dan juga Pasca atau Post-Revolusi. Menyelak semula (atau lebih tepat lagi ; menekan link) post saya yang lepas sudah cukup membuktikan ketidaktertiban sebahagian besar rakyat Mesir hanya kerana 2 perkara terpenting negara yang tidak diurus dengan baik iaitu Pendidikan dan Kewangan. Hingga ke tahap ini di mana manusia melarat di mana-mana, sistem pejabat kucar-kacir dan penipuan di merata tempat, masih ada manusia yang masih selesa memilih pemerintah Sekular dari pemerintah Islam demi beberapa alasan yang dianggap logik dan terlalu superficial dan surface ; demi kemodenan dan pembangunan terjemahan Barat dan Liberalisma serta tidak mahu menimbulkan hubungan keruh dengan kuasa besar dunia yang lain. Lantas lebih selesa mengeluarkan kenyataan, "Biarlah sesiapa yang menang pun dalam pilihanraya Mesir kali ini, kedua-duanya tetap seorang Muslim dan orang Arab." Terlupakah kita pada kegemilangan Islam pada suatu masa dulu di mana pemerintahnya menguasai dunia dengan penuh Taqwa?


Kita mungkin terlupa (atau sebenarnya kurang tahu?) betapa pemerintah Islam ketika kegemilangannya dahulu tidak bermewah-mewah hidupnya. Terlupakah kita pemerintah pada waktu itu sangat prihatin dengan pendidikan dan status hidup rakyatnya, bahkan sangat mengambil berat dengan teguran mereka? Adakah kita sebenarnya tidak tahu betapa berbezanya pemerintah Muslim yang benar-benar mengamalkan Islam yang sebenar dengan pemerintah Muslim yang berbangga dengan gaya hidup sekular bahkan berjuang pula mempertahankan sistem ini?


Memetik tulisan Ustaz Hasrizal tentang ucapan Erbakan dalam Travelognya 'Secangkir Teh Pengubat Letih', "Ambillah iktibar dari sejarah. Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan daripada selain-Nya, kita akan dihina oleh Allah." yang pernah diucapkan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan menurut Erbakan lagi, "Umat yang tidak mahu menoleh kepada sejarah adalah umat yang rugi. Umat yang tidak ada sejarah, tiada baginya masa depan!"


Malaysia juga sebenarnya tidak lari dari pemikiran dan cara menilai politik seperti ini. Apabila pemerintahan Islam tidak dikaji faktor kemenangan dan kejatuhannya, apabila politik Islam dan juga politik Sekular dilihat terlalu surface, dibandingkan pula semata-mata pada sudut kemodenan dan wajah fizikal, awaslah. Kita akan menjadi kelompok yang tidak begitu berjaga-jaga supaya tidak termasuk dalam golongan Fasiq dan Munafiq ; yang banyak bercakap dari beramal, yang lebih suka berdebat dan menimbulkan pergaduhan dan yang memberi alasan ketika seruan jihad minta dipenuhi. Lebih malang lagi, kita bukan sahaja menjadi agen Sekular secara automatik tanpa sedar, bahkan kita telah menyebabkan ramai sahabat-sahabat kita mengikut jejak langkah itu.


Walaupun begini hakikat yang ternampak dengan mata, resolusinya juga boleh menjadi realiti jika benar-benar yakin. Hati-hati, salah mengambil resolusi dengan cara tidak peduli dan ambil mudah bukanlah resolusi yang terbaik dan Islam tidak mengajar cara sebegitu. Kuncinya, bersusah-payahlah, kerana dengan susah-payah kita belajar menghargai sesuatu, apatah lagi sesuatu yang terlalu berharga ; ni'mat Iman dan Islam yang Kaffah.


Sekadar mencadangkan 2 resolusi yang realistik sekurang-kurangnya pada pandangan saya yang masih bergelar 'pelajar sepenuh masa' dan terlalu sedikit pengalaman dalam melihat dunia secara penuh iaitu :

1- Perbanyakkan membaca.

Akhir-akhir ini saya begitu berminat membaca Travelog beberapa penulis di mana dari situ saya memperolehi banyak cara pandang dan cara menilai yang jika saya sendiri pernah pergi ke negara itu, saya tidak mampu menganalisis dan menulis seperti mereka. Membaca bukan sahaja membuka fikiran, bahkan boleh menaikkan semangat, mengubah cara berfikir bahkan menukar persepsi kita pada sesebuah organisasi atau individu. Dengan syarat, pilihlah bahan bacaan bukan kerana terhibur dengan gaya bahasanya dan memenuhi cita-rasa kita, tetapi demi mendapat sedikit panduan ke arah Al-Haq (kebenaran). Dan ini membawa kepada point kedua saya.

2- Pilihlah support system yang terbaik.

Banyak faedah yang boleh didapati dari support system ini. Walaupun kebanyakan support system ini berhajat pada curahan tenaga dan wang kita, tetapi itulah juga salah satu dari hajat-hajat manusia itu sendiri secara fitrahnya yang perlu memberi dan berkhidmat. Antara faedah lain mempunyai support system ini untuk dikaitkan dengan point yang pertama tadi ialah dalam memilih bahan-bahan dan juga sources untuk bahan bacaan hidup kita. Bahkan dengan support system ini juga dapat memandu segala keputusan dan perancangan hidup jika kita keliru atau kebuntuan. Sudah tentu keluarga adalah support system yang terbaik dan terdekat, tetapi kadangkala kita memerlukan ahli 'keluarga' yang lebih besar agar pandangan dan jangkauan pengalaman menjadi lebih luas, terbuka dan mempunyai variasi yang menyenangkan. Pemilihan ini sangat memerlukan pemerhatian, kefahaman yang benar tentang Islam dan ilmu supaya kita tidak terjatuh ke dalam fitnah taqlid buta dan close-minded. Jangan lupa syarat tenang itu antaranya adalah Ikhlas Lillahi Ta'ala dan jangan lupa juga kekuatan istikharah ! :)


Akhirnya, musim panas terakhir (InshaAllah!) saya kali ini melihat saya lebih banyak menghabiskan masa demi buku-buku dan bagi saya, membaca berjaya mengurangkan banyaknya cakap saya, menghalang saya terlalu banyak menilai dan melabel manusia dan mengurangkan masa saya melayan segala perkara yang terdapat dalam Facebook dan Twitter yang banyak menimbulkan huru-hara berbanding dalam dunia realiti. Dan dengan tamatnya 2 buku baru-baru ini (Secangkir Teh Pengubat Letih dan Suri Wanita Teladan Zaman Rasulullah SAW), saya berjaya menulis satu post tanpa menunggu waktu exam. Alhamdulillah !


Nota 1 : Satu perkara tentang Liberalisma, saya sedikit hairan bagi mereka yang berpandangan bahawa mereka menolak pendapat ulama' dalam mentafsirkan Al-Quran dan ada yang lebih ekstrim, menolak Hadith. Lantas, apa yang mereka punyai jika mereka tidak mampu mentafsir sesuatu terutamanya pada ayat-ayat mutasyabihat atau asbab nuzul Al-Quran dan asbab wurud Hadis? Amat malang jika resolusi yang mereka pilih ialah sistem Jahiliyah Barat yang dijadikan tempat rujukan dan mendefinisikan segala falsafah dalam Islam. Kasihan !

Nota 2 : Saya mencadangkan buku terbaik untuk bacaan remaja hari ini : Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi tulisan Dr. Abdullah Nasih Ulwan. Bacalah, kita akan menyedari betapa banyak panduan di dalamnya !

Nota 3 : Tolong doakan masa depan Mesir dan juga Malaysia agar berubah menjadi yang terbaik. Ujian dan fitnah sekular sebenarnya telah banyak mengajar kita supaya lebih menghargai dan lebih berusaha mencari Islam yang tulen dan benar. Pun begitu, usaha untuk mengembalikan Islam secara tulen adalah resolusi yang terbaik, bukan hanya redha dengan sistem hari ini !

Nota 4 : Allah izin hari saya menulis tentang politik dan pemerintahan Islam bersamaan hari Pembebasan Konstatinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Sebaik-baik tentera yang pernah diramalkan oleh Rasul SAW. Turki pernah mengadakan keraian sempena peristiwa ini secara gilang-gemilang dan memang menjadi motivasi serta kebanggaan seluruh rakyatnya..


P/S: Tahniah kepada sesiapa yang berjaya membaca post saya yang agak panjang ini. Jika terdapat sebarang kelemahan dan kesalahan, mohon pencerahan dan tunjuk ajar. Sesungguhnya banyak perkara yang belum dapat saya rasai sepenuhnya dan pandangan saya masih sangat memerlukan teguran dan pembetulan. Dan saya memohon maaf jika terdapat sebarang kelemahan dalam tulisan kali ini. Wallahu'alam.

Comments

hood@sunny said…
Allahumma ballighna Ramadhan. *eceh tetiba.


"Sesiapa yang tidak mempunyai sejarah tiada baginya masa depan" @-@

Jom ke Turki~
Ummu5nur said…
Hujah2 anda mestilah berASASKAN AL-qUR'AN DAN HADITH YG SOHIH baru lah berkualiti!
Yakinlah masa depan untuk ISLAM!