Belajar Dari Mesir

Musim kedatangan pelajar baru telah tiba. Saya yang masih dalam musim exam ditambah lagi sudah dalam golongan 'pelajar yang tidak lama lagi akan meninggalkan Mesir' (inshaAllah) menjadikan saya agak tidak teruja untuk menceritakan tentang Mesir keseluruhannya. Namun, di kesempatan masa senggang sempena tamatnya exam Perubatan (Internal Medicine), mahu rasanya saya berkongsi apa yang saya pelajari dari Mesir sejak saya telah berada di Mesir selama hampir 5 tahun berhempas pulas berusaha menamatkan setiap peringkat pengajian ini. Bagi mereka yang masih baru di Mesir dan hanya berminat mengetahui sudut teknikal kehidupan di Mesir, tulisan ini tidaklah menjurus kepada bahagian itu. Post kali ini lebih kepada sudut falsafah dan pandangan umum saya selama berada di Mesir. Oleh kerana tempoh berada di Mesir ini agak panjang, maka banyak pula yang saya pelajari sebanyak yang saya tulis. hehe

hospital yang memberi begitu banyak pelajaran dan kenangan

1. Merasa syukur dengan yang sedikit, juga dengan yang banyak

Perkara pertama yang mula saya rasai sebagai pelajar warganegara Malaysia yang perlu belajar di Mesir selama 6 setengah tahun adalah syukur. Saya cukup rasa bertuah kerana saya terpilih sebagai salah seorang yang merasai 2 suasana negara-negara sedang membangun yang berbeza, Malaysia dan Mesir. Saya merasai betapa Malaysia penuh dengan segala kemewahannya dan Mesir yang dilihat banyak kekurangannya menyebabkan saya sebenarnya menghargai kedua-duanya.

Dahulu saya selalu mengeluh dengan keadaan Malaysia yang penuh dengan kerenah birokrasi ketika pengurusan pejabat, banyaknya sampah yang tidak terurus, sikap mementingkan diri antara jiran tetangga dan sebagainya.

Kemudian, saya berada pula dalam sistem Mesir yang tidak menepati janji, korupsi berleluasa, sampah sarap di merata tempat dan segalanya 'asal boleh'. Betapa Malaysia ketika itu menjadi negara terbaik di hati saya dan perasaan mahu segara pulang ke Malaysia secara kekal membuak-buak.

Saya mula memproses perasaan agar tidak banyak mengeluh dengan sedikit kekurangan ketika di Malaysia dan tidak pula terlalu mempertikai dengan segala kemudahan ketika di Mesir. Saya menyedari bahawa bukan salah keadaan yang membuatkan kita menderita, tetapi perasaan dan mindset sebenarnya masih dalam pilihan kita. Samada kita mahu belajar bagaimana membuat pilihan dan berjaya membuat keputusan untuk bahagia atau membiarkan sakit hati dan menderita. Bukankah kebahagiaan adalah impian semua?

Namun itu tidak membuatkan saya rasa selesa dengan kedua-duanya. Saya masih berharap yang terbaik dari kedua-duanya. Saya masih berharap ada perubahan kepada yang lebih baik dari kedua-dua negara dan suasana. Dan saya perlu lakukan sesuatu bukan hanya duduk menerima segalanya!

Tanpa melihat keadaan Mesir yang begini, saya susah untuk rasa bersyukur dengan situasi di Malaysia. Tanpa berada di Mesir, saya tidak tahu bagaimana untuk belajar semua ini.

2. Mesir - Ummuddunya (Ibu dunia)

Bagi yang belum mengetahui banyak tentang Mesir, Mesir adalah salah satu negara yang disebut dalam al-Quran. Kisah Mesir dikaitkan dengan 2 jenis manusia iaitu Firaun dan Nabi Musa AS. Firaun adalah manusia yang dilaknat Allah sebaliknya Nabi Musa AS pula manusia yang dianugerahkan Allah segala keajaiban hingga diberi peluang melihat Allah.

Maka, bertitik-tolak dari sejarah ini, sebenarnya di Mesir terkumpul segala jenis manusia. Dari yang mempunyai personaliti Firaun hinggalah yang sebaik-baik Nabi Musa AS dan tidak ketinggalan pelengkapnya Nabi Harun AS. Saya yang memang asalnya suka mengkaji dan memerhati tentang psikologi manusia sudah tentu mengambil peluang keemasan ini dengan belajar dengan keduanya. Belajar supaya menilai yang mana sikap yang boleh dicontohi, yang mana sikap yang harus dibuang dan tidak lupa juga bagaimana bergaul dengan kedua-dua jenis manusia ini. Malah, keberadaan di Mesir juga memberi peluang terbesar untuk saya melihat kesan hasil perbuatan kedua-dua golongan ini.

Dari sini juga baru saya belajar dan menyedari, menjadi neutral atau tidak berpihak dengan mana-mana kutub pemikiran serta menerima semua pandangan dan pegangan bukanlah satu tindakan yang bijak dan betul. Silap memilih dan menilai atau tidak langsung menilai sebenarnya merosakkan kehidupan. Apatah lagi demi kehidupan selepas kematian. Mengapa perlu takut membuat pilihan atau tersalah pilihan sedang kita sebagai Muslim dibekalkan sebaik-baik petunjuk ke arah kebenaran iaitu al-Quran? Mengapa perlu keliru dengan pelbagai fenomena kehidupan sedang kita mempunyai pelbagai sumber sahih yang membantu kita membuat keputusan? Bukankah teladan Rasul SAW menunjukkan begitu banyak cara menyelesaikan masalah kehidupan? Kenapa masih ragu-ragu untuk mengikut cara Baginda sedang kita mengaku kita adalah Muslim?

3. Berbuat baik dan bersabarlah

Tahun-tahun awal saya di Mesir melihat diri saya yang begitu skeptik dengan masyarakatnya. Saya begitu mudah panas baran dengan bayaran teksi yang melampau, sistem pentadbiran universiti yang tidak seteratur dan secanggih Malaysia serta kerenah penyewa rumah yang mengharapkan bayaran yang lumayan. Tanpa saya sedari, saya mula menanam beberapa sikap 'Firauniyyah' demi kepentingan saya membuatkan saya mula bertindak melampau dan dilihat menzalimi orang lain.

Namun semuanya menyedarkan kesilapan saya apabila saya membaca buku bestseller 'Taxi' karangan Khaled Al-Khamisi (translated into English). Bahawa rakyat Mesir adalah mangsa kepada sebuah kerajaan yang menekan rakyatnya sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja (menipu hampir dilakukan oleh ramai dari mereka) demi menyara hidup. Sudahlah begitu, sistem pendidikan yang terbaik hanya untuk mereka yang kaya-raya. Oleh itu, mereka yang berpendidikan tinggi, beradab dan berakhlak baik seolah-olah tidak akan lahir dari golongan yang sederhana apatah lagi golongan miskin.

Saat itulah saya benar-benar rasa bersalah dan tersedar bahawa rakyat Mesir berkelakuan begini kerana sebab-sebab yang menekan hidup mereka. Rupa-rupanya banyak yang saya tidak tahu. Betapa teruknya saya turut bersikap seperti mereka malah mungkin lebih buruk dari mereka sedang saya dalam keadaan yang cukup selesa !

Melihat kembali pada sirah Rasul SAW sendiri, Baginda sering membalas setiap kejahatan yang dilakukan orang terhadap Baginda dengan kebaikan-kebaikan. Di situ jelas terlihat misi Baginda sebagai Murabbi dan sekaligus Daie. Maka, saya belajar untuk menahan marah, memujuk hati dan memaksa senyuman (dan belajar buat lawak juga !) setiap kali ada masalah-masalah pengurusan. Saya juga belajar strategi-strategi bagaimana berurusan dengan masyarakat Mesir agar kehendak saya dipenuhi tanpa menyakitkan sesiapa walaupun tanpa suapan duit.

4. Waktu pagi adalah waktu orang baik-baik

Bagi yang sedang berada di Mesir, kedai-kedai yang dibuka hanyalah kedai roti dan beberapa kedai runcit kecil sahaja. Hatta kalau ke pasar tani (suuq) seawal 8 pagi pun masih ada sayur-sayur yang belum tersusun, ayam-ayam yang belum diproses bahkan ada banyak gerai yang belum dibuka. Namun begitu, ketika inilah waktu paling sesuai bertemu dengan pakcik teksi yang baik-baik, pakcik kedai yang dedikasi dan pasangan suami isteri yang tenang sedang bersiar-siar menghirup udara pagi tanpa dicemari asap. Sebaliknya, petang di Mesir adalah satu masa keluarnya manusia tamak haloba, tergesa-gesa dan panas baran. Sudahlah bangun pagi pun lambat, sanggup pula marah-marah kalau ditegur tentang kerjanya atau tidak dapat bayaran yang lebih. Sakit jiwa !

5. Hakikat kebenaran

Untuk tajuk ini, saya tidak berminat untuk bercerita panjang kerana ia lebih berkisar masyarakat Melayu di Mesir dan berkaitan pelbagai kumpulan dakwah yang terdapat di Mesir. Apa yang saya pelajari dari perkara ini, saya menyedari setiap apa yang difahami, dipraktikkan dan dipegang dalam hidup sangat terdedah kepada kesalahan dan pertikaian kerana manusia hakikatnya begitu lemah untuk melihat lebih jauh dan menilai. Maka, apa yang mampu manusia lakukan adalah dengan bergantung kepada sumber wahyu dari Pemilik kebenaran, belajar tentangnya dan percaya dengannya. Hakikatnya kita benar-benar mengetahui di pihak mana kita berada hanya ketika akhir amalan kita ditimbang di Mizan dan seterusnya hal ini membuatkan kita lebih berhati-hati agar lebih banyak timbangan kebaikan terisi dari mengumpul timbangan kejahatan dengan dosa yang bertambah hanya kerana sikap angkuh dengan pegangan kita ketika di dunia. Astaghfirullah.

6. Menilai dan membuat pilihan

Apa yang saya belajar dari Mesir, nilaian dan pilihan sangat memerlukan iman dan ilmu. Seperti yang saya ceritakan di atas, saya telah menghukum semua rakyat Mesir adalah kasar dan jahat-jahat belaka kerana saya tidak tahu struktur kehidupan mereka yang sangat teruk lantas saya bergaduh dan berkasar dengan mereka. Bukankah lebih baik jika saya bersabar dan cuba melakukan sesuatu agar saya dan mereka tidak terus mengumpul dosa?

Namun, ini tidak menunjukkan bahawa saya setuju 100% pernyataan 'dont be judgemental' sedang dalam sheet Psychiatry sendiri, the ability to judge adalah salah satu indikator seseorang itu sihat dari sudut psikologi. Judging di sini lebih membawa maksud menilai. Hilang keupayaan menilai, maka hilanglah satu fungsi normal pemikiran manusia. Kerana itulah penilaian memerlukan ilmu, perlu belajar untuk menilai berdasarkan sumber yang paling benar dan sudah tentulah sumber itu datangnya dari Pencipta manusia. Dari sumber inilah kita tidak perlu ragu-ragu andai kita benar-benar mengikut nilaian yang dicontohkan dalam al-Quran. Kita tidak akan ragu-ragu bahawa bersikap seperti Firaun, Bani Israel, Samiri dan Munafiq adalah salah begitu juga sebaliknya. Awas, penilaian ini bukan bertujuan untuk menghentam dan memburukkan orang lain, tetapi ia lebih kepada memperbaiki diri sendiri dan orang lain dalam lingkungan adab dan akhlak yang telah dipelajari. Bukankah setinggi-tinggi nilaian terbaik dalam al-Quran adalah Taqwa yang juga bermaksud berhati-hati dalam segala tindakan diri dari terjerumus dalam dosa?

7. Mengutamakan yang utama dan tidak memandang rendah pada hal yang kecil

Saya membandingkan hal-hal rumit ketika membuat medical check-up di Malaysia dan yang begitu mudah di Mesir. Saya begitu terkagum dengan sikap masyarakat Mesir yang satu ini yang begitu ringkas dalam kehidupan di sebalik rasuah dan pelbagai kerenah yang lain. Bayangkan, ketika saya membuat medical check-up untuk lesen memandu, tidak ada CXR, tidak ada pemeriksaan badan dan keperluan-keperluan lain seperti di Malaysia. Yang diperlukan hanyalah tandatangan doktor yang bertugas dari setiap jabatan dan cop mereka. Kemudian selesai ! Sudah tentulah orang yang sanggup berulang-alik ke beberapa jabatan meminta tandatangan dan cop tersebut sihat tanpa sebarang masalah kesihatan yang serius. Tergelak saya bila memikirkan semula hal ini.

Berlainan dengan warga Malaysia yang begitu mengambil peduli dengan perkara-perkara kecil seperti kualiti barangan, kebersihan atau pembungkusan, rakyat Mesir lebih selesa dengan perasaan 'asal sudah ada'. Jika mahu yang lebih cantik atau lebih tahan lama, perlulah membayar lebih atau menunggu lebih lama.

Teringat ketika saya mahu menukar bungkusan gula kerana terkoyak sedikit. Saya ditegur oleh pakcik kedai, "Orang Malaysia memang tengok semua benda ke?" Saya hanya menjawab,"Kami sentiasa mahukan yang terbaik!" dan beliau diam mengiakan. Pada waktu yang lain pula, saya ditegur bersin tidak mengucapkan Alhamdulillah dengan kuat kerana pakcik kedai mahu mendoakannya sedangkan hal itu bagi saya 'what a big deal' ? Ah, ada sahaja perkara kecil yang saya kira besar dan ada perkara besar yang saya kira kecil. Banyaknya yang saya tidak tahu !

8. Kepentingan kemahiran komunikasi dan bahasa

Saya juga dulu begitu marah andai perkara yang dijanjikan dengan orang Mesir tidak dapat seperti yang saya mahukan. Tetapi apabila saya mula menginjak ke tahun 5, apabila saya sedikit sebanyak memahami gaya bahasa mereka dan kebiasaan mereka, saya menyedari betapa begitu banyak salah faham antara saya dan mereka. Saya sebenarnya tidak tahu apa yang mereka faham lantas saya membiarkan perjanjian berlaku mengikut sangkaan dan pemahaman saya. Akhirnya, apa yang sebenarnya berlaku mengikut pemahaman mereka dan menyalahi kehendak saya.

Bagi mengelakkan perkara-perkara seperti ini berulang, saya sering meminta kepastian setiap kali membuat sebarang perjanjian dan tempahan. Bahkan, saya pernah meminta mereka menulis apa yang mereka fahami dari penerangan saya supaya tidak ada pertikaian selepas itu. Nasib baiklah warga Mesir kebanyakannya sangat ramah dan sanggup melayan kerenah saya ! Ketika itulah saya merasai betapa pentingnya menguasai bahasa sesuatu masyarakat demi memastikan segala urusan hidup selesai dengan baik. Saya juga menyesal menyalahkan warga Arab Mesir kononnya mereka penipu sedangkan masalah datang dari saya yang tidak memahami kebiasaan mereka dan tidak menguasai bahasa mereka ! Astaghfirullah !

9. Kuasa Do'a

Kerapkali juga saya terfikir kata-kata ramai orang bahawa berdo'a di Mesir sering mustajab. Namun bagi saya, saya sebenarnya lebih kerap berdo'a ketika saya di Mesir memandangkan saya mempunyai masa dan kemampuan yang sangat terhad untuk mendapatkan sebarang pertolongan. Berbanding ketika di Malaysia, saya terlalu banyak pula bergantung kepada sebab-sebab dan kemungkinan-kemungkinan yang ada menyebabkan saya kurang berdo'a. Ketika inilah, waktu-waktu berada di Mesir, saya merasai betapa do'a saya begitu didengari dan kebanyakannya dimakbulkan dengan kadar segera ! (kadang-kadang agak menakutkan juga bila doa'-do'a ini begitu cepat termakbul membuatkan saya lebih berhati-hati membuat doa..)

Tambahan lagi, jika mahu do'a yang lebih dari orang lain, hulurkanlah sedekah dan berbuat baiklah. Rakyat Mesir, tidak kira pengemis, orang biasa atau profesor di universiti sekalipun begitu pemurah dan bibir mereka sentiasa terlantun do'a-do'a !

10. Kefakiran dan kejahilan membawa kepada kekufuran !

Beberapa bulan lepas, saya bersembang dengan seorang pakcik yang banyak membantu saya dalam urusan-urusan hidup di Mesir. Saya mengadu, mengapa rakyat Mesir begitu teruk, mengapa sampah di merata tempat dan mengapa sistem Mesir sangat menyedihkan. Saya memarahi  kerajaan Mesir yang sepatutnya bertanggungjawab tentang ini semua. Namun respon beliau membuatkan saya begitu tersentuh. Katanya, kebanyakan warga Mesir sebenarnya mempunyai tahap pendidikan yang begitu rendah. Hanya orang-orang kaya sahaja dapat ke sekolah yang baik dan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ini tidak termasuk lagi orang-orang kaya yang tidak mahu ke sekolah. Katanya lagi, pendidikan adalah asas kepada semua ini. Andai seluruh masyarakat Mesir terdidik dengan adab yang baik, pengetahuan yang benar dan penilaian yang betul, pasti keadaan Mesir akan berubah ke arah yang lebih baik.

Saya lebih-lebih bersetuju dengan point beliau tatkala terlihat seorang pengemis yang menjadi punca berseleraknya sampah di tempat pembuangan sampah yang menyelongkar plastik demi mendapatkan tin-tin dan botol-botol kosong untuk dijual. Andai pengemis itu diajar dan dididik supaya meletakkan sampah semula ke tempatnya, Mesir mungkin tidak akan mempunyai pemandangan yang ada sekarang !

Kemudian, teringat pula isu Hudud di Malaysia dan banyak isu-isu lain yang secara jelasnya membuatkan saya berkonklusi bahawa ada sesetengah pihak tidak belajar tentangnya dan tidak cuba memahami situasi dari sumber yang sebenar. Saya secara persendirian begitu kesal kerana pendidikan Islam yang sebenar tidak benar-benar sampai pada golongan tersebut. Mungkinkah Malaysia sebenarnya kekurangan orang yang sanggup bekerja semata-mata memberikan pemahaman dan gambaran sebenar kepada masyarakat hari ini ? Atau sebenarnya kita tersalah cara dan strategi dalam membawa Islam sedang Malaysia hakikatnya tempat yang subur dengan badan-badan dakwah Islami ?

Wallahu'alam. Dari 10 perkara yang saya pelajari ini, saya ringkaskan solusi dan tindakan saya selepas ini dalam 3 perkataan, saya mahu Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. Saya terlalu banyak menulis dan bercakap sebenarnya, oleh itu saya perlu lebih banyak melakukan kerja. Semoga Allah menerima amal saya dan amal semua yang membaca post saya yang juga bekerja demi kehidupan selepas mati. Ameen.

Dan ketahuilah, Mesir tidak pernah meninggalkan saya dalam sehari tanpa sebarang perkara-perkara baru untuk dipelajari !

Dengan ini, saya mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru Malaysia ke Mesir. Semoga berjaya membuat pilihan dan memperolehi bahagia yang sebenar ! Marilah kita semua sama-sama terus belajar dari Mesir ! :)

Comments

hood@sunny said…
Udkhulu Misra in Sha Allahu Aaminiiin :)
saya tidak ada bantahan pada pernyataan di atas....

bagaimana pula mesir sebelum dan selepas tsaurah?