A Break

Pertama-tamanya, Al-Fatihah khusus buat Murabbi yang paling dikagumi dan dihormati, Ustaz Dahlan Mohd Zain, beliau yang sempat saya temui dan mengucapkan terima kasih serta maaf semasa kenduri beliau dan kali keduanya ketika beliau sudah menutup mata buat selama-lamanya. Pertemuan yang sungguh luar biasa kerana ketika itulah juga berkumpulnya jasad-jasad yang berisi hati-hati yang ikhlas hanya untuk mendapat redha Allah hingga terpancar di wajah-wajah mereka. Pertemuan yang juga memberi peluang kepada saya untuk mengenali seorang penulis buku yang telah lama saya kagumi (al-Muntalaq dan ar-Raqaiq), Ustaz Muhammad Ahmad Ar-Rasyid walaupun hanya melalui gambar yang diambil oleh sahabat-sahabat saya di sini. Satu peluang yang sepatutnya saya syukuri dan hargai !

bertemu dengan Ustaz Dahlan ketika kenduri beliau

Keduanya, saya sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu memulakan perkongsian percutian saya pada tahun ini. Terlalu banyak yang mahu diceritakan sementelah cuti saya yang berumur 3 bulan itu kini tinggal 3 minggu. Bermula dengan menjadi AJK 'Jarak Jauh' untuk Program PERUBATAN di Pangsun, 2 minggu menjalani posting elektif di Hospital Baling dan 3 minggu di Hospital Kuala Lumpur dan raya di Baling dan Muar. Kini, saya bertukar status menjadi bibik sepenuh masa (setelah dinasihati oleh Ummi yang rindunya tidak dapat dilepaskan sepenuhnya..) sambil menanti saat-saat untuk kembali ke Mesir. Mungkin saya perlu menulis dalam post yang spesifik untuk kedua-dua posting saya memandangkan pengalaman di sana terlalu menarik untuk dikongsi bersama rakan seperjuangan yang lain. Tunggu lagi ya ! *grin*

Ketiganya, maaf buat adik-adik junior saya yang barangkali sudah menanti di Mesir pada masa ini. Tahun ini saya tidak menguruskan pelajar-pelajar baru (Malaysia) jurusan Sains Kesihatan di Universiti Tanta sepenuhnya. Sengaja mahu memerhati dan melatih serta memberi peluang pimpinan baru mendapatkan pengalaman mengurus semuanya. Kami (senior) hanya berbaki 2 tahun lagi untuk berada di Mesir, maka kamu semua perlu belajar bagaimana menguruskan adik-adik baru dan menjadi lebih baik dari kami apabila kami telah tiada di Mesir lagi!

Akhirnya, hari ini saya sempat menulis sesuatu setelah beberapa kali bertangguh dek rumah yang terlalu banyak perlu diuruskan. Terlalu banyak yang mahu dikongsi dan diceritakan, tetapi saya masih mengumpul ingatan-ingatan dan menyusunnya dalam perenggan supaya mudah dibaca. Secara ringkasnya, inilah cuti saya yang terlalu sibuk sehingga kaki ini terlalu sakit, buku nota saya penuh dan saya terpaksa mengkhususkan sebuah meja untuk saya di rumah demi menyelesaikan semua kerja. Ya, boleh dikatakan cuti kali ini juga banyak mengubah persepsi, tabiat dan respon saya terhadap masyarakat hari ini dan cuti ini juga (seperti yang telah saya nyatakan tadi) terlalu menarik untuk sama-sama dikongsi.

Semoga saya sempat menulis kesemuanya tanpa tertinggal semua yang menarik sebelum saya kembali menjadi pelajar Tahun 5 di Universiti Tanta, Mesir !

Wallahu'alam.

P/S : tiket saya berjadual 7 Oktober ini. Doakan dipermudah dan selamat pergi dan kembali. Sehingga kini masih belum dapat re-confirm tarikh dengan syarikat Qatar Airways. Rabbuna yusahhilna..


Comments