Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah : 155-156)

29 May 2012

The Last Summer, InshaAllah

Jutaan tahmid dipanjatkan untuk Dia yang melimpahkan kasih sayangnya tanpa henti, yang hanya sebahagian darinya sahaja dapat saya sedari dek kerana kelemahan diri yang bertaraf hamba. Dari sebahagian kecil nikmat ini pula, saya sedar bahawa keberadaan saya di Mesir (walaupun hanya 6 tahun) sebenarnya telah banyak menyedarkan saya kepada banyak hakikat-hakikat hidup dan falsafah Islam yang sebenar.


Saya bukanlah penganalisa politik untuk dianggap serius dalam menghuraikan sudut pandang suasana politik di Mesir baru-baru ini, tetapi saya suka jika pandangan saya ini dinilai sebagai satu sudut pandangan dari seorang pelajar biasa yang mahukan yang terbaik dalam hidup, berusaha yang terbaik dan menjadi yang terbaik dengan Islam, untuk Islam yang sebenar. Atau dengan perkataan lain, idealist.


Pertama-tamanya, tidak sama mereka yang pernah hidup dalam Islam yang sebenar dengan mereka yang tidak pernah merasai tenangnya, damainya bersama orang-orang yang ikhlas dalam memperjuangkan cara hidup Islam. Tidak sama juga mereka yang ketenangannya bergantung kepada rumah yang luas dan besar, kewangan yang lebih dari cukup, mempunyai rakan-rakan yang boleh membantu ketika susah dan hal-hal dunia yang lain berbanding mereka yang tenangnya bergantung pada redha Allah. Tahukah kita, Allah sekali-kali tidak redha Agamanya tidak tertegak dan dipertahankan di tempat hambanya berpijak !


Begitulah Mesir pada hari ini. Saya mendapat sedikit privilege dalam mengulas tentang ini kerana saya adalah salah seorang manusia yang berada di ketiga-tiga noktah penting sejarah baru Mesir ; Pre-Revolusi, Peri-Revolusi (sekitar revolusi) dan juga Pasca atau Post-Revolusi. Menyelak semula (atau lebih tepat lagi ; menekan link) post saya yang lepas sudah cukup membuktikan ketidaktertiban sebahagian besar rakyat Mesir hanya kerana 2 perkara terpenting negara yang tidak diurus dengan baik iaitu Pendidikan dan Kewangan. Hingga ke tahap ini di mana manusia melarat di mana-mana, sistem pejabat kucar-kacir dan penipuan di merata tempat, masih ada manusia yang masih selesa memilih pemerintah Sekular dari pemerintah Islam demi beberapa alasan yang dianggap logik dan terlalu superficial dan surface ; demi kemodenan dan pembangunan terjemahan Barat dan Liberalisma serta tidak mahu menimbulkan hubungan keruh dengan kuasa besar dunia yang lain. Lantas lebih selesa mengeluarkan kenyataan, "Biarlah sesiapa yang menang pun dalam pilihanraya Mesir kali ini, kedua-duanya tetap seorang Muslim dan orang Arab." Terlupakah kita pada kegemilangan Islam pada suatu masa dulu di mana pemerintahnya menguasai dunia dengan penuh Taqwa?


Kita mungkin terlupa (atau sebenarnya kurang tahu?) betapa pemerintah Islam ketika kegemilangannya dahulu tidak bermewah-mewah hidupnya. Terlupakah kita pemerintah pada waktu itu sangat prihatin dengan pendidikan dan status hidup rakyatnya, bahkan sangat mengambil berat dengan teguran mereka? Adakah kita sebenarnya tidak tahu betapa berbezanya pemerintah Muslim yang benar-benar mengamalkan Islam yang sebenar dengan pemerintah Muslim yang berbangga dengan gaya hidup sekular bahkan berjuang pula mempertahankan sistem ini?


Memetik tulisan Ustaz Hasrizal tentang ucapan Erbakan dalam Travelognya 'Secangkir Teh Pengubat Letih', "Ambillah iktibar dari sejarah. Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan daripada selain-Nya, kita akan dihina oleh Allah." yang pernah diucapkan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan menurut Erbakan lagi, "Umat yang tidak mahu menoleh kepada sejarah adalah umat yang rugi. Umat yang tidak ada sejarah, tiada baginya masa depan!"


Malaysia juga sebenarnya tidak lari dari pemikiran dan cara menilai politik seperti ini. Apabila pemerintahan Islam tidak dikaji faktor kemenangan dan kejatuhannya, apabila politik Islam dan juga politik Sekular dilihat terlalu surface, dibandingkan pula semata-mata pada sudut kemodenan dan wajah fizikal, awaslah. Kita akan menjadi kelompok yang tidak begitu berjaga-jaga supaya tidak termasuk dalam golongan Fasiq dan Munafiq ; yang banyak bercakap dari beramal, yang lebih suka berdebat dan menimbulkan pergaduhan dan yang memberi alasan ketika seruan jihad minta dipenuhi. Lebih malang lagi, kita bukan sahaja menjadi agen Sekular secara automatik tanpa sedar, bahkan kita telah menyebabkan ramai sahabat-sahabat kita mengikut jejak langkah itu.


Walaupun begini hakikat yang ternampak dengan mata, resolusinya juga boleh menjadi realiti jika benar-benar yakin. Hati-hati, salah mengambil resolusi dengan cara tidak peduli dan ambil mudah bukanlah resolusi yang terbaik dan Islam tidak mengajar cara sebegitu. Kuncinya, bersusah-payahlah, kerana dengan susah-payah kita belajar menghargai sesuatu, apatah lagi sesuatu yang terlalu berharga ; ni'mat Iman dan Islam yang Kaffah.


Sekadar mencadangkan 2 resolusi yang realistik sekurang-kurangnya pada pandangan saya yang masih bergelar 'pelajar sepenuh masa' dan terlalu sedikit pengalaman dalam melihat dunia secara penuh iaitu :

1- Perbanyakkan membaca.

Akhir-akhir ini saya begitu berminat membaca Travelog beberapa penulis di mana dari situ saya memperolehi banyak cara pandang dan cara menilai yang jika saya sendiri pernah pergi ke negara itu, saya tidak mampu menganalisis dan menulis seperti mereka. Membaca bukan sahaja membuka fikiran, bahkan boleh menaikkan semangat, mengubah cara berfikir bahkan menukar persepsi kita pada sesebuah organisasi atau individu. Dengan syarat, pilihlah bahan bacaan bukan kerana terhibur dengan gaya bahasanya dan memenuhi cita-rasa kita, tetapi demi mendapat sedikit panduan ke arah Al-Haq (kebenaran). Dan ini membawa kepada point kedua saya.

2- Pilihlah support system yang terbaik.

Banyak faedah yang boleh didapati dari support system ini. Walaupun kebanyakan support system ini berhajat pada curahan tenaga dan wang kita, tetapi itulah juga salah satu dari hajat-hajat manusia itu sendiri secara fitrahnya yang perlu memberi dan berkhidmat. Antara faedah lain mempunyai support system ini untuk dikaitkan dengan point yang pertama tadi ialah dalam memilih bahan-bahan dan juga sources untuk bahan bacaan hidup kita. Bahkan dengan support system ini juga dapat memandu segala keputusan dan perancangan hidup jika kita keliru atau kebuntuan. Sudah tentu keluarga adalah support system yang terbaik dan terdekat, tetapi kadangkala kita memerlukan ahli 'keluarga' yang lebih besar agar pandangan dan jangkauan pengalaman menjadi lebih luas, terbuka dan mempunyai variasi yang menyenangkan. Pemilihan ini sangat memerlukan pemerhatian, kefahaman yang benar tentang Islam dan ilmu supaya kita tidak terjatuh ke dalam fitnah taqlid buta dan close-minded. Jangan lupa syarat tenang itu antaranya adalah Ikhlas Lillahi Ta'ala dan jangan lupa juga kekuatan istikharah ! :)


Akhirnya, musim panas terakhir (InshaAllah!) saya kali ini melihat saya lebih banyak menghabiskan masa demi buku-buku dan bagi saya, membaca berjaya mengurangkan banyaknya cakap saya, menghalang saya terlalu banyak menilai dan melabel manusia dan mengurangkan masa saya melayan segala perkara yang terdapat dalam Facebook dan Twitter yang banyak menimbulkan huru-hara berbanding dalam dunia realiti. Dan dengan tamatnya 2 buku baru-baru ini (Secangkir Teh Pengubat Letih dan Suri Wanita Teladan Zaman Rasulullah SAW), saya berjaya menulis satu post tanpa menunggu waktu exam. Alhamdulillah !


Nota 1 : Satu perkara tentang Liberalisma, saya sedikit hairan bagi mereka yang berpandangan bahawa mereka menolak pendapat ulama' dalam mentafsirkan Al-Quran dan ada yang lebih ekstrim, menolak Hadith. Lantas, apa yang mereka punyai jika mereka tidak mampu mentafsir sesuatu terutamanya pada ayat-ayat mutasyabihat atau asbab nuzul Al-Quran dan asbab wurud Hadis? Amat malang jika resolusi yang mereka pilih ialah sistem Jahiliyah Barat yang dijadikan tempat rujukan dan mendefinisikan segala falsafah dalam Islam. Kasihan !

Nota 2 : Saya mencadangkan buku terbaik untuk bacaan remaja hari ini : Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi tulisan Dr. Abdullah Nasih Ulwan. Bacalah, kita akan menyedari betapa banyak panduan di dalamnya !

Nota 3 : Tolong doakan masa depan Mesir dan juga Malaysia agar berubah menjadi yang terbaik. Ujian dan fitnah sekular sebenarnya telah banyak mengajar kita supaya lebih menghargai dan lebih berusaha mencari Islam yang tulen dan benar. Pun begitu, usaha untuk mengembalikan Islam secara tulen adalah resolusi yang terbaik, bukan hanya redha dengan sistem hari ini !

Nota 4 : Allah izin hari saya menulis tentang politik dan pemerintahan Islam bersamaan hari Pembebasan Konstatinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Sebaik-baik tentera yang pernah diramalkan oleh Rasul SAW. Turki pernah mengadakan keraian sempena peristiwa ini secara gilang-gemilang dan memang menjadi motivasi serta kebanggaan seluruh rakyatnya..


P/S: Tahniah kepada sesiapa yang berjaya membaca post saya yang agak panjang ini. Jika terdapat sebarang kelemahan dan kesalahan, mohon pencerahan dan tunjuk ajar. Sesungguhnya banyak perkara yang belum dapat saya rasai sepenuhnya dan pandangan saya masih sangat memerlukan teguran dan pembetulan. Dan saya memohon maaf jika terdapat sebarang kelemahan dalam tulisan kali ini. Wallahu'alam.

07 May 2012

The Senior Advices

Saya sangka sudah di tahun 6, saya tidak lagi dihujani dengan soalan-soalan yang mungkin jawapannya lebih mudah didapati dari bermacam jenis blog para junior yang lebih banyak menulis tentang pengajian Perubatan atau Pergigian di Mesir secara teknikal. Tetapi nampaknya sangkaan saya salah dan mungkin kerana taraf senior saya itu dipandang 'matang' apabila mengutarakan sebarang pandangan. Wallahu'alam. Yang utama perlu difahami, bukan semua senior itu matang ya ! Haha


Simply, 2 perkara yang saya paling benci tentang Mesir (berat menyebut tentang ini). Rokok dan Kullu Jidar Hammam (setiap dinding adalah tandas). Sengaja memberi sedikit perasa negatif untuk yang bakal berangkat ke Mesir setelah beberapa post saya agak berat sebelah dalam memuji Mesir. hehe

Mesir yang penuh dengan do'a

Recently, sejak Mesir kurang stabil selepas revolusi, hidup semakin agak susah bagi rakyat Mesir dan yang bermastautin di negara ini. Keinginan yang kuat, bekalan yang cukup dan ingin keluar dari zon selesa adalah pakej yang sangat baik untuk yang mahu menyambung pelajaran ke Mesir plus sabar yang keterlaluan. hehe Saya sendiri yang telah memasuki tahun ke 6 di Mesir pun masih belum terdidik dengan sabar sepenuhnya dan masih tidak sabar-sabar untuk menghabiskan tahun terakhir ini dengan cepat dek hanya kerana letih dan kecewa dengan segelintir masyarakatnya yang kurang beradab, tidak sistematik dan sangat tidak produktif. Bayangkan, urusan pejabat hanya bermula pada pukul 9 pagi (or fully operating at 10 am?) dan sebarang urusan selepas pukul 2 petang adalah tidak dilayan!

Ada yang bertanya saya tentang masalah bahasa. Ini sangat bergantung kepada setiap universiti samada mereka ada menyediakan kelas khas untuk pelajar Malaysia dalam English atau tidak. Sila ambil perhatian, Egyptian English tidak sama dengan mana-mana English yang wujud di dunia ini di mana 'p' menjadi 'b' dan 'learn' digunakan selain 'teach' untuk memaksudkan 'mengajar'. Namun, itu bukanlah masalah paling besar untuk memahami sesuatu pelajaran sementelah para pensyarahnya begitu bersemangat untuk mengajar dan menerangkan. Yang penting, kita yang sebagai pelajarnya kena rajin bertanya !

Saya tidak nafikan bahawa bahasa Arab bukanlah bahasa yang terpenting untuk faham dalam kuliah, malah beratus-ratus junior saya yang langsung tidak mempunyai basic Arabic masih mampu meneruskan pengajian hingga saat ini. Tambahan lagi, slang Arabnya lebih kepada bahasa 'Ammiyah yang lebih memerlukan pengalaman, minat dan berani mencuba untuk menjadi mahir dan fasih. Malah, ketika mengambil sheet atau case presentation juga dilakukan secara berkumpulan dengan syarat mesti ada salah seorang ahli kumpulan yang tahu berbahasa Arab.

Masalah bahasa bagi saya bukanlah masalah terbesar ketika belajar di Mesir. Tetapi bagi yang mempunyai basic dan minat terhadap bahasa ini seperti saya, saya dapati lebih banyak advantages dari sudut mengingat nota yang lebih ringkas dari sahabat-sahabat Arab yang lain, menjadikan urusan-urusan universiti lebih mudah, lebih rasa beradab dengan pesakit ketika mengambil history (tidaklah bertanya macam robot atau pelajar yang tidak mempunyai perasaan) juga ketika memberikan arahan kepada pesakit dalam physical examinations dan mengurangkan nervous ketika final clinical exam yang mana sheet perlu diambil secara perseorangan dan bukan berkumpulan.

Wallahu'alam. Saya akui, Mesir pernah terkenal sebagai sebuah negara kiblat ilmu, maka ramai yang masih berminat untuk ke Mesir walaupun keadaannya yang tidak begitu baik. Bukan sahaja kita belajar perubatan dengan teknologinya yang canggih (walaupun di Mesir hanya tertulis secara teori sahaja), namun kita belajar juga bagaimana menguruskan seorang pesakit yang kurang berkemampuan untuk membayar segala penggunaan teknologi itu. Maka, dari situlah saya belajar 3 perkara terbesar ; Jangan Berputus Asa, Be Creative dan Segalanya Tidak Mustahil Jika Kita Tetap Beriman.

Sekian dulu celoteh ringkas dari senior yang bakal menamatkan pengajian pada awal Januari tahun 2013 nanti. Sama-sama doakan ya ! Jangan lupa, perjalanan bidang perubatan ini sangat panjang, its a marathon. Fikirlah masak-masak tentang keputusan ini dan jangan lupa istikharah ! *senyum*

P/S: Sempat menulis di kala bakal menghadapi End Round Exam 3 Subjek tidak lama lagi. Tabiat yang masih belum dihilangkan sepenuhnya ! Astaghfirullah. Jangan lupa doakan yang terbaik untuk saya ya ! Sama-sama sentiasa saling mendoakan ya ! :)