World Not As You Want

Sudah tentu. Bukan kita yang mencipta dunia. Bukan kita yang mencipta kehidupan kita. Mungkin kita diberi sebahagian kehidupan untuk kita cipta sendiri (iaitu bahagian yang boleh kita ubah seperti tabiat, personaliti, kerjaya dan pelajaran), tetapi masa depan adalah satu kejutan. Iaitu sesuatu yang tidak kita sangka, tidak kita impikan dan tidak dapat kita tentukan.

Inilah pembentangan kehebatan Allah sebagai Al-Qaadir melalui secebis kehidupan kita.
Namun, apa yang penting, kita juga sebenarnya mampu menentukan kehidupan akhirat kita. Ya, kita mencipta kehidupan akhirat kita dengan apa yang kita behave sewaktu di dunia. Risikonya, Allah yang menentukan syurga atau neraka. Walaupun ketika di dunia, kita dilihat begitu gembira dan bahagia sekali, namun, kita tidak memegang sijil jaminan bahawa kita akan tersenyum bahagia juga ketika buku amalan dibentangkan semula. Maka, kita perlu merancang dengan bijak supaya nanti kita mempunyai sebab-sebab yang sangat besar untuk layak mendapat redhaNya.

***
Sesekali saya lebih cenderung membaca semula tulisan-tulisan saya yang lepas tambahan lagi ratio bacaan/menulis saya lebih tinggi (mungkin 4:1). Seronok melihat perkembangan diri, dari permulaan secara rasminya bergiat di alam blogger ketika di Tahun 3 hinggalah kini.

Banyak perubahan-perubahan hidup yang telah ditulis, dari sekecil-kecil exam hinggalah sebesar kematian, semuanya ditulis dalam separa sedar - tanpa ada perancangan yang lebih teliti ketika menulis. Yang akhirnya membuatkan saya kembali sedar (di samping sedar masa yang berlalu dengan begitu pantas) betapa banyak perkara yang membuatkan saya matang, dan reconsider cara berfikir saya dan matlamat hidup.

Pun begitu, masih ada kisah hidup yang tidak dicatat di dalam blog ini. Kadang-kadang, ada bahagian hidup yang tidak perlu diceritakan dan ada yang sukar untuk diceritakan. Bahagian hidup itu biarlah disimpan, dijadikan kenangan sekaligus sebagai panduan untuk merancang hari-hari kehidupan yang akan datang. Bahagia juga dengan keadaan begitu.

Erm, Ummi pasti sedikit kecewa melihat anaknya yang jarang sekali mengupdate blog untuk dia lihat perkembangan pemikirannya, corak kehidupannya dan apa yang dilakukannya. Andai saya menjadi Ummi nanti, saya pasti sangat mahu membaca hasil pemikiran anak-anak saya. hehe Maaf Ummiku Sayang, anakmu ini yang sangat suka falsafah dan pemikiran, agak malas untuk menulis kehidupan yang kurang signifikan. *grin*

Terkini, saya masih terkejut dengan perkembangan diri. Sekarang sedang berada dalam Round Obstetric & Gynecology (Perbidanan dan Sakit Puan) yang akan diiringi dengan Special Surgery (Pembedahan Khas) pada bulan 3 nanti. Ya, Obstetric and Gynecology beserta Surgery adalah subjek terakhir untuk pelajar Tahun 6 (akhir) Kuliah Perubatan Universiti Tanta untuk Ijazah Sarjana Muda. Tanpa saya sedari juga, saya sudah mula menimbulkan minat terhadap Diagnostic Medicine (seperti yang anda tonton dalam House MD) sejak di Tahun 5 lagi. Biarpun subjek Neuropsychiatry masih mempunyai tempat di hati, namun dek kerana ia adalah subjek sub-specialist, saya mungkin lebih berminat menjadi Medical specialist. Apapun, untuk menjadi pakar di Malaysia, anda perlu mendapat recommendation dari pakar yang memantau perkembangan HO/MO. Untunglah mereka yang telah dikenali oleh pakar di Malaysia. Untunglah pelajar-pelajar Perubatan universiti di Malaysia!

Tahun 6 juga melihat saya belajar tentang perihal fizikal wanita dengan lebih lanjut, sekaligus saya sebenarnya lebih banyak belajar tentang fisiologi dan patologi diri saya. Bahkan, dalam subjek OnG ini juga membuatkan saya lebih banyak belajar hal-hal orang dewasa dan perkahwinan yang kemungkinan tidak langsung disentuh hatta dalam kursus perkahwinan sekalipun! Sedikit segan, namun, inilah cerita dewasa. Cerita golongan yang serius dengan kehidupan. Yang matang menilai dan membuat keputusan.

Dan sekarang, telah sebulan saya di Qism Nisa' Wa Tawleed, melihat pelbagai kes wanita dari masalah pendarahan dari vagina hingga ke masalah kemandulan, melihat pelbagai reaksi muka para pesakit juga ahli keluarga pesakit, melihat kelahiran normal dan Cesarean, melihat betapa tabahnya dan kuatnya para ibu Mesir yang serba kekurangan dan sudut kewangan dan pengetahuan. Melihat semua ini membuatkan saya berkonklusi, betapa perkahwinan tidaklah selalu dikelilingi dengan keindahan cinta yang sanggup berbuat dan menerima apa sahaja. Realitinya, untuk hati yang tidak diproses, cukup sukar untuk menerima takdir, menerima bahawa seorang isteri itu tidak lagi mampu menjadi seorang isteri yang sebenar-benarnya. Yang kehilangan kawalan kesihatan dan kejiwaannya, yang kehilangan segala kekuatan yang pernah dipunyainya dahulu. Pada saat ini, masih adakah suami yang masih setia? Masih adakah anak-anak yang sanggup menjenguk si ibu yang sentiasa mengharapkan keprihatinan dan luangan masa bersama? Masih adakah doktor yang sanggup melakukan usaha hingga ke titik yang benar-benar terakhir tanpa memikirkan soal kesenangan peribadi dan kemewahan pembiayaan perubatan? Masih adakah manusia yang terus bersabar melayan soalan-soalan dan celoteh golongan ini?

Benar, pencegahan untuk penyakit adalah lebih baik. Tetapi, bila saat ia telah berlaku, apa yang terpenting adalah sokongan dan layanan emosi yang berterusan dari ahli keluarga.

Saya tidak dapat nafikan - sebagai seorang pelajar perubatan - kos perubatan sangat tinggi. Sudahlah tinggi, tahap keberkesanannya pula berkadar terus dengan harganya. Namun, semua ini bukanlah bermaksud para doktor bekerja hanya untuk bermewah-mewah dengan segala wang tersebut. Masih ada para doktor yang ikhlas melakukan apa yang dirasakan terbaik, memberi cadangan yang dirasakan terbaik dan mengharapkan yang terbaik. Juga saya tidak nafikan bahawa ada di kalangan doktor yang ambil mudah, kurang berfikir, asal kerja cepat siap dan mahu pulangan yang lumayan.

Apabila bersama seluruh kakitangan Jabatan ini, saya begitu tersentuh dengan kesungguhan mereka melayan golongan wanita yang sangat delicate. Tahukah anda, gaji para doktor di Mesir jauh lebih rendah dari gaji para doktor (HO) di Malaysia? Sedangpun begitu, mereka bekerja lebih hebat dari doktor-doktor di Malaysia yang saya bandingkan ketika saya di HKL dahulu! Dari merekalah saya belajar kepentingan ilmu pengetahuan dan dari merekalah juga saya belajar bekerja secara terbaik tanpa mengharapkan sebarang imbalan. Dari mereka jugalah saya belajar bahawa para doktor hanya pemudah cara, perlu menerangkan dalam bahasa yang ringkas segala tindakan yang diambil terhadap pesakit supaya pesakit faham dengan apa yang dilaluinya di samping sangat perlu meluangkan banyak masa mendengar masalah pesakit, tidak menganggap remeh segala rungutannya dan sentiasa memberi sepenuh perhatian kepada mereka. Tambahan lagi, kakitangan jabatan ini juga mengajar saya supaya sentiasa bertindak dengan bijak, sentiasa consider segala perkara, bertanggungjawab atas segala tugas dan amanah yang diberikan serta menghormati apa jua keputusan pesakit. Pendek kata, very thoughtful. Banyak sungguh yang saya pelajari dari mereka, dan sebenarnya ada sahaja lagi yang tidak teringat untuk saya tulis di sini lagi..

Dari sudut pengajian, inilah sedikit perkembangan diri saya. Saya pernah cuba untuk berhenti dan berpatah balik dari meneruskan pengajian kerana rasa terlalu lama dan memenatkan. Tambahan lagi apabila sektor perubatan moden ini dipandang serong oleh beberapa pihak mungkin kerana 'tidak Islamik' dan dipenuhi rawatan yang berbahaya, saya hampir sahaja mahu berhenti dan selesa mengajar Al-Quran sahaja. Namun, apabila difikirkan semula, inilah impian saya, inilah keinginan saya sejak UPSR lagi dan saya telahpun melaluinya di tahun terakhir, maka mengapa saya harus berhenti? Bukankah saya mahu lakukan yang terbaik sebagai seorang hamba di dalam bidang yang ditetapkanNya?

Saya mahu semangat dan kesungguhan seperti rakyat Mesir di transplant dalam jiwa saya, boleh?
Jelas, hidup bukanlah semuanya yang saya mahukan, saya perolehi. Saya mahu Mumtaz setiap tahun, sihat tubuh badan dari sebarang penyakit, sentiasa rajin membuat segala perkara, mahu duit banyak untuk merantau ke seluruh dunia tanpa perlu melakukan bajet, namun Allah mempunyai penyusunan yang lebih baik lagi untuk diri saya. Saya tidak pernah beroleh Mumtaz walau setahun pun, diserang asthma ketika stress dan perlu merancang kewangan untuk pulang ke Malaysia nanti.

Mungkin selepas ini, saya akan terus bertransformasi menjadi manusia baru setelah melalui kehidupan dengan lebih lama lagi. Ada perkara yang akan menjadi lebih senang, dan akan ada perkara yang menjadi lebih susah. Di usia 20-an ini akhirnya saya merasai perasaan menjadi matang, dan perlu menjadi matang kerana kematangan dan keseriusan untuk hidup adalah antara syarat untuk hidup bahagia.

(Sebenarnya saya sedikit terkejut dengan versi matang diri saya ini, hehe)

Usahlah anggap pelajar di tahun akhir ini seronok dan bergembira, stabil dan tidak mempunyai masalah, lebih rilek kerana sudah hampir 'tahu semua', tetapi berilah peluang untuk mereka menjadi pelajar biasa yang masih sedia mendengar dan menerima penerangan, kritikan dan panduan. Walaupun telah timbul beberapa 'Sindrom Tahun 6' yang sudah bosan dengan kesalahan yang sering berulang dan lebih senang melakukan kerja secara ringkas, sindrom ini sangat perlu diubati dengan segera melalui pencerahan semula. Ya, kami benar-benar dilanda penyakit ketuaan!

Dan kemudiannya nanti, putaran hidup ini bermula kembali. Pelajar tahun akhir yang senior akan bertukar menjadi doktor praktikal paling junior seterusnya masih perlu mengekalkan semangat dan kesungguhan untuk terus belajar, membangun dan berubah. Jika sindrom ini diteruskan dengan rasa malas, senang rasa cukup tanpa terus mahu melakukan yang terbaik, mahu rileks melakukan apa yang disukai, jangan haraplah saya akan dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ah, doktor senior (yang akan memberi recommendation) bukan hanya setakat menilai pengetahuan kita sahaja, malah mereka sangat suka menguji kesungguhan dan dedikasi kita itu.

Kesungguhan dan dedikasi yang berterusan adalah trend yang sungguh menarik hati di zaman ini! Tambahan lagi apabila yang dilakukan bukan untuk diri sendiri, bahkan untuk berkhidmat dan memberi manfaat pada orang lain..

..dan dunia sebenar-benarnya tidak berlaku mengikut sekehendak kita. Segalanya tidak mustahil bagiNya.

Wallahu'alam.


Comments

subhanallah! kagum dgn usaha, doa dan una punya cerita ni. very nice! mohon share naa ^^
Dont know said…
Wau ........nice true story realy......u make me think back.....