Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah : 155-156)

26 March 2010

Couple : Natijah Ikhtilat Yang Tidak 'Sihat'

Jika anda melihat kawan anda / saudara anda / housemate anda / classmate anda mempunyai beberapa simptom-simptom berikut:

  1. Bergayut di telefon dan bercakap dengan lemah-lembut (samada secara terang-terang atau sembunyi di bawah saratoga/selimut) serta telefon bimbit dipenuhi dengan mesej dari pasangan.
  2. Menggunakan musyrif yang sama untuk ke mana-mana pada waktu malam (di Mesir, masyarakat pelajar Malaysia menggunakan sistem ini siap dengan jadual untuk menjaga pelajar wanitanya dari gangguan Arab).
  3. Bersembang berdua-duaan tanpa ada sebab kerja bersama gelak ketawa dengan begitu lama.
  4. Saling membela, sanggup buat apa saja serta menzahirkan kasih sayang secara spesifik kepada orang perseorangan.
  5. Mula menjauhkan pendapat dan pergaulan dengan kawan-kawan yang sama jantina (lebih buruk lagi jika mula menyalahkan mereka).
...maka, beliau didiagnose telah dihinggapi penyakit couple. Kenapa penyakit? Kerana, ia memudharatkan hati dan tubuh kita. Dan jangan lupa juga, dari pengalaman saya, penyakit ini mempunyai simptomnya yang subclinical (tidak menunjukkan sebarang simptom seperti di atas).


Punca-punca (Causes)

1. Kurangnya pengetahuan dan kesedaran tentang hakikat pergaulan dalam Islam.
2. Pengaruh rakan sebaya.
3. Hasutan syaitan yang hebat dan hawa nafsu yang tidak terkawal (Falsafah Sigmund Freud).
4. Masalah keluarga.
5. Contoh couple Islamik yang dibawa oleh figure yang mempunyai latarbelakang agama.
6. Pelbagai mitos-mitos tentang couple yang menghalalkannya.
7. Masalah keluarga, ibu bapa yang tidak komited dengan Islam.
8. Sistem pendidikan, kerajaan dan sosial yang tidak terbina atas dasar Islam.
9. Pendidikan secara langsung dalam pembinaan paradigma oleh drama-drama cinta.
10. Kurang perhatian dan sikap pentingkan diri dari kaum sejenis.
11. Hilangnya rasa malu dalam melakukan dosa terutamanya di kalangan perempuan.
12. Terlalu banyak masa lapang dan kehidupan yang tidak tersusun dengan baik.

Prognosis

Bergantung pada tahap simptom-simptom yang timbul. Tetapi apabila ramai manusia yang mula menunjukkan simptom-simptom ini, hal ini juga membawa prognosis yang lebih buruk iaitu bermasalahnya sistem amar ma'ruf nahi munkar dalam masyarakat tersebut. Prognosis akhir yang menyebabkan permenant infirmity adalah apabila sampai ke tahap zina dan lahirnya anak-anak luar nikah.

Ikhtilat Tidak Sihat? (Predisposing or Risk Factors)

bagaimana mengkategorikan ikhtilat? (Sekadar hiasan)

Mungkin beberapa orang (pihak?) berpendapat bahawa perkara ini hanya perkara kecil. No big deal. Tetapi bagi saya, Ikhtilat adalah penyebab kepada teori cinta kedua. Selalu berjumpa akan besar kemungkinan jatuh hati. Walau buruk macamana pun, walau tiada perasaan pada permulaannya, jika selalu berjumpa, bersembang, bergurau, pasti akan menimbulkan cinta. Lebih buruk lagi, jika tiada kawalan, mutasi hubungan akan berlaku. Dari 'hanya kawan', hanya 'adik angkat', hanya 'kakak/abang angkat' akan bertukar menjadi couple. Tak percaya? Falsafah ini telah dibuktikan oleh banyak drama bersiri Korea terutamanya dalam drama My Girl.

Bahkan, ada ibu bapa yang meng'ya'kan pergaulan jenis ini dengan mitos 'supaya nak cari calon untuk kawen senang..' tanpa menyedari bahawa anak-anak mereka akan terdedah dengan balik lewat tengah malam dengan teman lelaki, mula tidak mengambil berat dengan pelajaran dan paling tragis sekali zina. Perlu diingatkan, zaman hari ini tidak seperti zaman dahulu yang tiada kemudahan internet, kenderaan dan perhubungan, maka risikonya menjadi lebih besar lagi. Apa-apa alasan ibu bapa pun, couple tetap banyak melanggar prinsip-prinsip pergaulan dalam Islam.

Meneliti semula sistem pendidikan masa kini juga banyak menggalakkan percampuran tanpa kawalan dan peringatan. Para pelajar lelaki dan perempuan tidak diasingkan menjadikan mereka terbiasa dengan hidup bercampur hingga saling bergantung dan kurang proaktif. Teringat ketika saya di sekolah menengah, bukan hanya pelajar yang diasingkan, para guru juga menunjukkan contoh terbaik dengan menjaga pergaulan mereka. Hasilnya, para pelajar lelaki sekolah saya tidak bergantung dengan pelajar perempuan sekaligus mencipta banyak perkara yang tidak mampu kami sebagai pelajar perempuan menandinginya.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku apabila masing-masing mula keluar ke peringkat yang lebih tinggi. Pelajar lelaki akhirnya banyak bergantung dengan pelajar perempuan menjadikan mereka lebih superior dari pelajar lelaki dalam pelbagai aspek.

Bagaimana Merawatnya? (Treatment)

Rawatannya perlu kepada penglibatan kedua-dua belah pihak. Perawat iaitu daie dan pesakit iaitu orang yang bercouple. Kemudian, apa yang perlu dilakukan?

1. Daie.
  • perlu berhikmah dalam masalah ini. Hikmah juga membawa beberapa maksud iaitu tegas, ibda'ie (kreatif) dan penuh lemah-lembut.
  • perlu menjadi contoh yang baik (da'wah bilhal) dengan tidak terjebak dengan couple juga tidak melakukan perkara-perkara yang membawa kepada fitnah tersebut seperti ym, SMS, berdua-duaan walaupun ada alasan 'hendak membantu' atau 'ada kerja'. Contoh yang baik juga bukan hanya dalam pergaulan, tetapi juga dalam seluruh urusan kehidupan.
  • mengingatkan dengan memberi contoh pengajaran kepada orang lain, bukan dengan memburukkan individu.
  • perlu banyak-banyak bersabar dan teruskan usaha.
  • tahu, faham dan memberikan asas-asas pendidikan kejiwaan secara menyeluruh (bukan sekerat jalan dan tinggal).
2. Orang yang bercouple.
  • kahwin. Inilah cara terbaik daripada terus-menerus melakukan dosa.
  • jika tidak mampu berkahwin, berhenti melakukan perkara-perkara yang menyebabkan anda mendapat dosa.
  • cuba dan sedar untuk menerima dan mencari nasihat serta kepentingan pendidikan kejiwaan.
  • jangan sebarkan bahawa couple itu seronok. Hakikatnya tidak. Seronok yang akhirnya akan membuat kamu bosan (terutamanya lelaki) dan hati mula terasa kosong dan berdosa.
  • gantikan masa bersama pasangan dengan kerja-kerja yang memberi faedah kepada manusia lain atau sila sibukkan dengan study.

Ikhtilat Yang Tamayyuz (Prevention and Care)

Menyedari kepentingan Public Health and Community Medicine (saya tidak tahu istilah sebenarnya dalam Bahasa Melayu), saya masukkan juga penjagaan secara pencegahan iaitu Ikhtilat Education ; penerangan secara jelas tentang Ikhtilat yang sebenar dan tamayyuz. Apakah penerangan itu?


perlukah kuliah tentang Ikhtilat dalam matapelajaran Public Health? he he he

1. Perhubungan antara jantina yang lain dalam Islam hanyalah adik-beradik dan suami-isteri. Couple bukan budaya Islam.

2. Kesemua da'ie dan mereka yang tidak menghadapi penyakit ini perlu jelas tentang masalah ini serta menyediakan segala suasana yang sanitary ; bersih dari predisposing factors yang saya sebut di atas.


Dalam Islam ada menggariskan had-had hubungan antara lelaki dan wanita. Kaedahnya mudah. Yakhtalitun Naas, Walaakin Yatamayyazun. Kita bergaul, tetapi kita berbeza seperti yang pernah dikatakan oleh Asy-Syahid Syed Qutb. Berbeza yang bagaimana? Mudah. Kita sama-sama bekerja, tolong menolong dalam kebaikan, brain storming dan saling nasihat-menasihati tetapi ingat, perlu pada TAQWA dan IHSAN. Merasai pemerhatian Allah dalam setiap perbuatan. Memerhati dan memeriksa adakah setiap yang kita lakukan benar-benar mengikut apa yang dikehendaki olehNya. Hatta di ruang maya sekalipun. Awas, jika dasar hubungan adalah hawa nafsu, di situlah munculnya hubungan lain yang disebut couple (nota : hubungan sebelum perkahwinan).

Oleh itu, semua hati-hati perlu dididik untuk komited dengan amal Islami. Termasuk juga dalam bidang pendidikan, perubatan ataupun apa jenis pekerjaan sekalipun. Senang kata, cuba elakkan sembang antara lelaki dan perempuan tanpa alasan yang kukuh dan jika perlu untuk berjumpa, bawa teman yang boleh dipercayai. Lagi, jika terlalu kerap berhubung atas dasar kerja, sentiasa koreksi diri dan bina penghadang supaya tidak terlanjur dalam kata-kata, perbuatan mahupun hati. Jangan lupa juga tips-tips yang diberikan dalam al-Qur'an ; MENJAGA PANDANGAN..

Jika rawatan pencegahan diabetes dan darah tinggi adalah dengan mengamalkan cara hidup dan diet yang sihat, maka rawatan pencegahan couple adalah dengan mengamalkan ikhtilat yang sihat. Ikhtilat yang mengikut acuan Islam..

Tugas pencegahan sebenarnya dilakukan oleh semua orang mengikut kemampuan diri. Yang mempunyai kuasa, cegahnya dengan kuasa. Yang mempunyai kekuatan psikologi, cegahnya dengan kekuatan tersebut. Yang penting, jangan menuduh orang lain tidak berbuat apa-apa. Semua pihak berusaha dengan sekuat yang mampu untuk membina suasana ikhtilat yang sihat dan syar'ie dan saling bekerjasama untuk mengekalkannya melalui usaha nasihat-menasihati. Itulah yang dinamakan sinergi!

Tambahan lagi, kita semua, yang belum terjebak dengan penyakit ini tidak perlu menjauhi mereka sepertimana kita menjauhi pesakit AIDS. Walaupun mereka mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk mendapat AIDS, tetapi mereka mempunyai hak-hak sebagai saudara dalam Islam yang perlu kita penuhi. Mereka perlu dikasihi, luahan mereka perlu didengari, kesusahan mereka saling dibantu dan penyakit hati mereka sama-sama dirawati.

Benar, usaha ini bukan usaha yang senang, kalau tidak mampu sedikit, jangan buangkan semua!

Cerita Saya

Saya juga pernah beberapa kali jatuh cinta. Wah, beberapa kali? Ya, tidak salah untuk jatuh cinta, yang salahnya ialah bagaimana mengurus cinta itu. Walaupun begitu, saya tidak bernah bercouple. Bagi saya, couple tidak menyelesaikan masalah jatuh cinta saya dengan baik bahkan membawa juga masalah-masalah lain. Dari situlah saya belajar psikologi manusia yang jatuh cinta dan merasai bagaimana rasanya jatuh cinta.

Saya tidak berminat dengan couple pada asalnya kerana perkara ini sangat ditentang oleh ummi saya. Hatta hanya bertanyakan kerja sekolah di telefon sekalipun, ummi saya sangat sensitif jika anaknya diganggu oleh budak lelaki yang hakikatnya hanya 'main-main suka'. Teringat kata-kata ummi saya pada satu ketika, "Apa kacau anak dara orang ni? Belajar dululah!".

Di sekolah juga, suasana yang terasing dengan baik antara lelaki dan perempuan menghalang saya menyalurkan rasa cinta dengan cara bercouple. Andaikata tiada suasana ini, sudah pasti post saya kali ini tidak berkisar 'Couple : Natijah Ikhtilat Yang Tidak Sihat'. He he he. Dan saya merasai kesannya dan kepentingannya hingga sekarang!

Oleh itu, saya mula membesar dengan paradigma ini. Couple itu bukanlah perkara yang baik. Kemudian saya mula belajar bahawa couple itu haram dalam Islam dan juga dari pengalaman-pengalaman orang lain yang membuktikan betapa couple banyak menyumbang kepada perkara-perkara yang tidak baik. Pernah satu masa terlintas di fikiran saya bahawa dengan couple, minda saya lebih terbuka dan pelajaran saya lebih meningkat. Tetapi, kerana memandang bahawa itu hanyalah hasil pemikiran saya yang dangkal dan cetek jika dibandingkan dengan ayat-ayat Allah supaya menundukkan pandangan dan menjauhi zina, saya mula mencari sebab-sebab untuk menguatkan ayat-ayatNya. Benar, lihatlah berapa ramai saja yang gagal kerana banyak membuang masa melayan pasangan masing-masing. Bahkan lebih buruk lagi, couple bukan sahaja menyumbang kepada berlakunya zina, tetapi couple mampu memusnahkan tamadun sesebuah masyarakat. Tak percaya juga? Lihat saja Malaysia hari ini, apa yang terjadi pada remajanya?

Dalam saya terus mencipta teori-teori hubungan cinta manusia ini melalui psikologi, saya juga sebenarnya mula membina mission statement tentang ini. Bahawa walau bagaimana saya jatuh cinta sekalipun, walau kuat manapun perasaan saya, Allah adalah penentu TERBAIK. Hukum-hukumNya tidak boleh saya langgar dalam apa cara sekalipun samada hati, kata-kata dan perbuatan. Biarlah Allah yang menentukan Mr. Right saya dengan cara terbaik yang disusun olehNya sekaligus membuatkan saya mencipta satu do'a khusus. Bukankah Dia Penentu dan Perancang Terbaik? Hanya terpulang pada kita untuk memilih jalan yang mana satu, yang haram atau yang halal. Dan couple itu hukumnya..?

Mengapa Tajuk Couple Yang Saya Pilih?

Kerana pergaulan yang salah dan tidak mengikut cara Islam boleh membawa kepada kehancuran keluarga, pelbagai masalah mental dan psikologi, namun kesan yang seharusnya ditakuti adalah azab seksa Allah di akhirat kelak. Malas datang ke kelas atau tidak komited dengan Islam dalam hal-hal lain selain couple juga perkara yang perlu dibincangkan dengan panjang lebar, tetapi tajuk couple ini hakikatnya masih kurang difahami oleh kebanyakan para agamawan sekalipun. Bukan kerana saya terlebih faham tetapi saya hanya berkongsi dari apa yang saya faham hasil pemerhatian saya (seperti yang pernah saya tulis sebelum ini). Dan selepas post ini dipublish sekalipun, kata-kata saya pasti akan teruji terutamanya dalam perlaksanaan rawatan dan pencegahannya.

Justeru, apa yang saya tulis di sini adalah untuk disampaikan kepada orang ramai seterusnya menjadi peringatan untuk saya pada masa akan datang apabila saya juga mula menunjukkan simptom-simptom di atas. Juga, penulisan ini masih memerlukan perbincangan yang lebih teliti dan masih berhajat kepada teguran dan pembaikan. Yang penting adalah pembaca post saya ini, adakah masih terus mahu bercouple, masih redha untuk terus dijangkiti dengan penyakit ini tanpa bertindak untuk merawatnya sebelum terlambat?

Wallahu'alam, setakat ini sahaja post terpanjang saya barangkali.. (sudah mula sakit belakang, hu~)

Wa akhiran, Let's walk the talk! :)

21 March 2010

Inilah Tanta-ku

Tanta Today ; What So Special?

(Pertama kali saya mendengar perkataan 'Tanta' adalah dari guru tasmi' saya yang pertama, Ustaz Ikmal Zaidi.)

Lama betul rasanya tidak menulis. Tidak sempat menghias blog dan membaikpulih, tugas-tugas lain pula menuntut. Inilah bahana apabila tugas menjaga 2 laman web sekaligus. Not a big deal. Sebenarnya, saya bertambah-tambah sibuk sejak beberapa bulan lepas dengan Program Eminent '10 dan Final Clinical serta Final Practical Forensic and Toxicology yang benar-benar menguji kemampuan saya menyusun masa. Pun begitu, saya sempat membalas email (dengan panjang lebar) dari seorang pakcik yang berhajat menghantar anaknya ke Universiti Tanta, Mesir di mana saya sedang berada sekarang. Setelah bertimbun-timbun nasihat disampaikan, inilah yang memberi lintasan untuk saya menulis tentang bandar Tanta terutamanya tentang suasana dan keadaan semasanya. Ya, Tanta hari ini benar-benar berubah secara mendadak jika dibandingkan dengan ketika tahun-tahun awal saya di sini.

Kenapa Istimewa?

Kerana adanya saya. Lawak saja. Tanta istimewa bagi saya kerana Tanta adalah bandar yang sederhana. Orang-orangnya sederhana, harga barangannya sederhana, sewa rumahnya sederhana dan tambang teksinya juga sederhana. Saya tidak perlu membayar hingga LE20 dengan menaiki teksi untuk ke stesen yang menempatkan semua kenderaan untuk ke Kaherah. Saya juga tidak perlu menaiki kenderaan untuk ke kuliah (baca : berjalan kaki). Walaupun Tanta bukanlah bandar yang strategik untuk menjadi pusat pelancongan (berdekatan dengan Sungai Nil), namun hal ini menjadikan Tanta kurang tumpuan pelancong yang banyak menodai kesucian Nil itu sendiri (kurang remaja bersepah dan berpeleseran di kurnishnya). Benar, Tanta bandar kecil yang dikelilingi kampung-kampung Arab yang sederhana keadaaannya..

Mungkin ramai mereka yang di Malaysia tidak tahu bahawa institusi pengajian tinggi di Mesir terbahagi kepada 2 jenis; universiti-universiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Mesir dan di bawah Al-Azhar. Dan universiti saya -Universiti Tanta- adalah di bawah KPT Mesir, bukan Al-Azhar menjadikan kami (baca : pelajar-pelajar perubatan perempuan) satu-satunya golongan perempuan Malaysia yang wujud di bandar ini kerana Al-Azhar di Tanta adalah untuk pelajar lelaki. Ini tidak termasuk para isteri ustaz-ustaz yang juga tinggal di Tanta.

Mat'am Kharijiy - Dewan Makan Luar

Contoh Hidangan Musim Panas untuk hari Ahad dan Selasa (Jenis buah berbeza mengikut musim)
Dari segi pengurusan Universiti, bagi saya, Universiti Tanta adalah yang terbaik. Walaupun yurannya (hingga tahun ini) mencecah USD 8,000 (bersamaan hampir RM 25,000), kami menerima segala kelebihan yang sewajarnya. Alhamdulillah. Pertamanya, trip setiap tahun bagi setiap batch (walaupun program ini hanya baru bermula ketika saya di tahun 2 dan hanya untuk pelajar-pelajar MoU) ke tempat-tempat menarik di Kaherah. Juga, makan di kantin secara percuma selama 4 hari setiap minggu dengan juadah yang menepati citarasa Melayu dan penuh khasiat. Tidak lupa juga anugerah terbaru (yang baru sahaja bermula pada tahun ini), setiap pelajar yang memperoleh pangkat Jayyid Jiddan dan Mumtaz akan menerima LE 500 dan LE 1,000 respectively.

Sekadar penambahan, dari aspek pendidikan Islam (setakat yang saya hadiri), saya telah mengikuti 2 pengajian tahsin Al-Quran dan matapelajaran pengajian Islam yang lain (tuisyen luar) dengan tanpa sebarang bayaran. Ini termasuk juga kelas-kelas pengajian dari para pelajar jurusan pengajian Islam yang tidak jemu-jemu dan lokek untuk berkongsi ilmu.

Kenapa Terlalu Istimewa?

Kerana kami, warga perubatan Malaysia di Tanta memiliki lebih dari 10 orang pelajar yang pernah menghafal 30 juzuk Al-Quran. Tak percaya? Tanya Timbalan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah Sessi 2008/09, saudari Nawwar Afifah Zakaria. *grin* sikit. Menjadi Quran bergerak atau tidak, hakikatnya kami mempunyai sejumlah manusia dari golongan tersebut. Masalah sosial adalah perkara biasa di setiap lokaliti berpunca dari warganya yang tidak komited dengan Islam. Namun, usaha-usaha masih dilakukan untuk menjaga bi'ah atau suasana solehah ke tahap yang sewajarnya. Jika tiada perubahan, ini tidak bermaksud kami tidak berbuat apa-apa!

Menjadi warga Tanta juga terlalu istimewa kerana senior yang paling senior baru sahaja di tahun 5. Belum mempunyai senior yang telah menjadi graduan yang boleh dikongsi secara penuh pengalaman di universiti ini. Hal ini menjadikan kami lebih berdikari dan menjelajah dunia baru Tanta secara semulajadi walaupun penuh dengan kesilapan dan kesalahan.

Istimewa dari sudut Islam sebenarnya diukur dengan pengukur keTAQWAan. Saya tidak menyatakan bahawa warga Tanta adalah istimewa kerana semua atau sebahagian warganya bertaqwa. Tetapi saya sekadar meluahkan bahawa kita sering mencipta ukuran kita sendiri sedangkan taqwa itu hanya dalam pengetahuan Allah sahaja. Kita mengira bahawa dengan adanya banyak kawasan pelancongan yang cantik, pelbagai kemudahan yang disediakan oleh universiti dan sistem pembelajaran yang terbaik menjadikan tempat pengajian kitalah yang paling istimewa. Tetapi sebenarnya tidak. Sebenarnya, apa yang diambil kira dan dilihat adalah hasil yang dilahirkan oleh graduan Malaysia dari institusi tersebut. Ya, adakah hasilnya adalah graduan yang boleh dikategorikan sebagai Muslim Doctor atau graduan Secular Doctor. Walaupun tarbiyyah itu terdiri dari 3 komponen (murabbi, manhaj, bi'ah), tetapi pendidikan dari suasana memang tidak dapat dinafikan. Pilihlah suasana yang membangunkan iman kita, bukan yang membangunkan nafsu ammarah kita.

Jangan kata Tanta adalah tempat yang paling teruk (baca : worst) hanya kerana kurangnya kemajuan dan kemodenan di sini. Tapi ingat, di sinilah pernah lahir seorang tokoh terkenal pada masa ini ; Asy-Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi! Ya, di daerah Tanta ini!

Meydan Sa'ah - Time Square, Tanta - courtesy of de_hydrates

Nasihat saya untuk mereka yang mempunyai keinginan untuk melanjutkan pengajian di luar negara secara spesifiknya di Tanta, berfikirlah dengan secara serius dan ambillah keputusan dengan jujur. Keep in consideration all the factors that make you eagerly want to join the Malaysian medical community of Tanta. Make sure that the factors will later can be the strength for your entire life.

Kami mungkin tidak memperoleh pengalaman yang cukup dan maklumat yang relevan dengan bidang kesihatan di Malaysia, tetapi kami mempunyai semua sebab untuk memperoleh punca bagi segala kekuatan ; SABAR. Bukankah orang yang paling kuat itu orang yang menahan marahnya? (dan saya benar-benar teruji dengan itu).

Lastly, jangan lupa solat hajat dan solat istikharah. Kita semua mahukan yang terbaik dan sangat berusaha untuk mendapatkannya. Tetapi ingatlah, Allah lebih mengetahui yang mana yang terbaik. Maka, pohonlah segala yang terbaik dari-Nya.

Dan, berakhirlah kisah Tanta saya yang sederhana ini. Wallahu'alam..

P/S : Rujukan tambahan @ Laman Faculty of Medicine, Tanta University dan PERUBATAN Cawangan Tanta
...Read more