Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah : 155-156)

29 June 2009

Tahun Ketiga (MBBCh)

Saya lelah sekali. Tahun ini segala kerja menimbun tinggi. Banyak sebab; tidak pandai mengurus masa, tanggungjawab bertambah, kemahiran meningkat dan banyak lagi. Menghantar post pada blog ini juga memerlukan masa. Masa berfikir, masa mengolah, masa menaip (saya belum update lagi speed test, mungkin bertambah, he he he). Alhamdulillah, Allah beri saya kesempatan untuk menulis di sini, bercerita pengalaman dan perasaan yang sekian lama berbuku di minda dek kerana kerja-kerja 'luar-laptop'.



Ketika dan saat ini, saya sedang menunggu keputusan peperiksaan akhir tahun saya. Harapan saya dua, Mumtaz atau dapat meneruskan pengajian ke tahun keempat dengan selain pangkat itu. Tahun lalu, saya selesa dengan 'Taqdir Am' (Keputusan Keseluruhan) Jayyid Jiddan dengan tiga matapelajaran Mumtaz; Histology, Anatomy dan Psychology. Tahun ini pula, saya sukar mengagak keputusan saya. Bukan yang terbaik saya kira. Begitu banyak kesalahan dan kelupaan yang kurang saya ambil perhatian. Kata Nadia, sahabat baik saya yang berbangsa Arab, "Tiada yang dapat mengubah sesuatu melainkan dengan do'a." Sedikit membuat saya tenang bersama pasrah.

Tahun ketiga menyaksikan saya berada dalam keadaan yang penuh kelam-kabut dan tidak tersusun. Tidak seperti ketika saya di tahun dua, kali ini saya kurang bersedia. Dengan hanya 4 subjek pun tidak dapat saya hadamkan sebaiknya; Pharmacology, Parasitology, Microbiology dan Pathology yang peperiksaannya bermula lebih awal dari tahun-tahun yang lain. Benar, mula awal, habis awal, keputusan pun awal. Allah, saya sedikit tersiksa begini!

Tahun ketiga juga menyedarkan saya bahawa pengajian saya sudah menghampiri fasa pertengahan. Kata bahasa Inggeris, Transitional Phase. Saya bakal ke tahun empat, InshaAllah, dan memulakan fasa baru seorang pelajar perubatan; fasa klinikal. Fasa rawatan yang lebih khusus dan terperinci. Ini juga bermakna pengajian saya berbaki 3 tahun lagi. Allah, cepatnya 6 tahun itu!

Tahun ketiga juga memberi peluang kepada saya membuat beberapa konklusi terhadap subjek-subjek yang telah saya pelajari. Konklusi ini lebih kepada beberapa realization saya terhadap subjek-subjek ini. Oh, pengajian ini semakin membuat saya bertambah kagum!

Pharmacology

Hakikatnya matapelajaran ini membentangkan segala ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan segala penyakit. Namun mekanismanya membuatkan saya tersedar, betapa banyaknya receptor yang terdapat dalam tubuh seorang manusia. Bahkan kehadiran pelbagai jenis receptor ini membolehkan para pengkaji farmasi memanipulasi tubuh badan, terutamanya dalam mengawal pertumbuhan kanser. Subhanallah!

Bayangkan, setiap sel yang membina tubuh manusia ini dipenuhi receptor pada lapisan luarnya (cell membrane) yang terpacak dan tertanam. Oh, sedikit menggelikan!

Parasitology

Subjek kedua yang saya gemari selepas Pathology. Bercerita tentang segala makhluk Allah yang mampu menghuni dalam tubuh manusia dan punca pelbagai penyakit. Dari sekecil-kecil protozoa hingga sebesar-besar cacing pita yang berukuran 10 meter. Subjek ini sebenarnya menambahkan kesyukuran saya apabila membaca kenyataan adanya subclinical infection; jangkitan yang tidak menzahirkan sebarang tanda-tanda klinikal (sakit, perubahan sistem badan) kerana imuniti badan yang tinggi. Dan banyak lagi fakta bahawa jangkitan parasit ini hanya berbahaya apabila sistem imuniti berkurang atau hyperinfeksi; jangkitan yang keterlaluan.

Allah, sistem imuniti yang satu ini terlalu berharga! Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Microbiology

Saya sedikit terkeliru antara subjek ini dan Parasitology kerana kedua-duanya hampir sama. Kemudian saya mula melihat perbezaannya; subjek ini lebih cenderung kepada parasit yang mikroskopik, yang terlalu halus. Termasuk virus. Bukti Allah Maha Halus hingga perlu dikumpulkan dalam satu subjek yang berasingan dari Parasitology. Allahu Akbar!

Sekadar membuat kejutan. Ketahuilah bahawa tubuh kita sebenarnya dihuni oleh 10 kuasa 14 bakteria yang jumlahnya jauh lebih banyak dari jumlah sel tubuh kita (10 kuasa 13). Dan jumlah itu langsung tidak membuatkan kita rasa tidak selesa apatah lagi jatuh sakit. Malah, dengan nikmat ini kita dengan selesanya melakukan dosa. Are we suppose to behave like this in front of Him when we got to know this fact?

46 interesting slides of Pathology, I love this part!
Pathology

Subjek terakhir dalam jadual peperiksaan tahun ketiga. Subjek yang paling saya gemari. Namun, saya tidak 100% mahir dalam subjek ini. Masih banyak perkara yang saya lupa-lupa. Tanda masih banyak dosa. Subjek kelihatannya merangkumi segala subjek di atas, menerangkan segala penyakit dan perubahan sistem badan kerana perkara-perkara yang dibincangkan oleh subjek di atas. Pathology explains the abnormality of physiology.

Saya menyedari sementelah saya mengulangkaji hampir 600 muka, bahawa setiap sel yang terdapat dalam tubuh ini berpotensi untuk menjadi ketumbuhan atau kanser (tumor). MashaAllah, setiap sel dalam tubuh ini juga hidupan, maka dia juga mengalami perubahan dengan kehendak dan perintah Dia. Tidakkah kita sebenarnya tidak mampu melakukan apa-apa tanpa bantuanNya?

Subhanallah wa Alhamdulillah, subjek yang telah disusun sedemikian rupa memberi peluang supaya saya menyedari betapa penyusunan Allah terlalu hebat. Mulanya Dia susunkan subjek pertama sebagai Pharmacology; subjek yang terpenting dan tersusah, dan merangkumi segala rawatan peyakit. Kemudian, tiba giliran subjek-subjek penyebab penyakit; Parasitology tentang makro-organisma dan Microbiology tentang mikro-organisma. Kemudian Dia tutupkan pula dengan subjek yang menjadi konklusi dan implikasi buat semua subjek tadi iaitu Pathology. Hebatnya Allah!

Sepatutnya tahun ketiga ini saya perlu lebih banyak bersyukur dan bersabar, bukan?

Lantas, patutkah saya membiarkan malas merajai diri saya? Bukankah malas tanda kufur?
Astaghfirullah, Allah, aku hamba lemah. Maafkan aku..

P/S: Doakan saya ya. Ingin Mumtaz Taqdir 'Am. Natijah akan keluar dalam tempoh seminggu lagi.
...Read more

18 June 2009

The About-Women Movies

Siapa kata orang macam saya langsung tidak menonton filem? Tidaklah hingga ke panggung wayang, tetapi saya juga menghabiskan sesetengah masa lapang saya dengan menonton. Dan saya seorang yang terlalu memilih ketika menonton filem. Setiap kali menonton satu-satu cerita, saya pasti akan menarik keluar semua falsafah-falsafah yang ada dalam kisah-kisah tersebut. Setakat ini, Naruto Shippudeen dan House M.D. boleh dikategorikan antara tontonan kegemaran yang saya ikuti setiap sirinya. Di dalamnya sarat dengan manusia-manusia kreatif yang boleh saya pinjam semangat dan ketabahan mereka. Cuma cerita-cerita dari barat saya tidak berapa gemari kerana penuh dengan aksi yang membuatkan saya rasa mual. Ah, kehidupan bebas yang tidak ada kawalan bahkan membinasakan! Tiada panduan!

Begitu juga cerita-cerita cinta yang lain. Semuanya mempunyai falsafah yang sama dan tidak ada pembinaan di dalamnya. Dua falsafah cinta yang saya temui dalam semua cerita cinta (saya layan juga, nak tahu mengapa ramai yang addicted dengannya..); pertama, kalau jumpa selalu memang akan jatuh hati dan kedua, Heart Resonance Theory. Kamu suka pada seseorang, dan orang itu akan merasainya juga. Boring..itu sahaja! Agak kurang mendidik bagi saya.



Di celah-celah pilihan cerita, saya menemui dua lagi cerita yang benar-benar membuatkan saya berfikir. Dan kedua-duanya menceritakan tentang kehidupan wanita di tengah-tengah masyarakat. Satu hasil dari Indonesia yang bertajuk Perempuan Berkalung Sorban dan satu lagi dari Barat, Arranged. Walaupun yang kedua adalah lakonan manusia kulit putih, tetapi tidak ada unsur-unsur yang memualkan saya. Kedua-duanya memberi perspektif yang berbeza bagi penontonnya, begitu juga saya. Apa perspektif anda?

Perempuan Berkalung Sorban


Ringkasan sinopsis yang saya ingat adalah kisah Aneesa, seorang anak Kiai yang hidup dalam sebuah pasentren (madrasah) kepunyaan ayahnya. Di sana, Aneesa memberontak kerana banyak perkara yang membezakan dia dengan kaum lelaki yang lain. Baginya tidak adil. Dan masanya banyak bersama Khudori, temannya ketika kecil tempat dia meluahkan segala perasaannya (erm, my first theory about love applied, ha ha ha). Lalu jatuh hati..

Kemudian Khudorinya menyambungkan pelajaran ke Mesir (yang saya tak tahan, rumahnya setentang dengan piramid sedangkan di kawasan piramid tidak ada penuntut yang tinggal di situ kerana jauh dari pusat pengajian!), Aneesa dikahwinkan secara paksa oleh ayahnya dengan seorang lelaki lepasan Madinah. Memalukan, lelaki yang kononnya baik rupa-rupanya mempergunakan wanita untuk kepuasan nafsu. Huh!

Kemudian pelbagai peristiwa yang berlaku (sila tonton sendiri), akhirnya Aneesa bercerai dengan suaminya, Shamsudin (kalau saya tak silap). Walaupun masih dalam trauma, Khudori masih menerimanya sebagai isteri. Mereka hidup bahagia dengan seorang anak hinggalah.. (sila tonton sendiri ya!)

Mungkin ramai berpandangan filem ini membawa mesej emansipasi wanita atau kebebasan wanita. Benar, cerita ini digubah dengan begitu baik hingga saya tidak merasakan ada unsur-unsur liberalism di dalamnya (tidak seperti Gubra yang menjelikkan!). Tetapi, saya memandang kisah ini sebagai contoh kegagalan besar bagi sebuah institusi pengajian Islam. Kisah ini sebenarnya membentangkan betapa rosak sebuah institusi jika para pelajarnya tidak diajar cara berfikir. Semuanya hanyalah seputar halal dan haram. Tidak ada pembinaan iman dan tidak ada pendidikan jiwa. Lebih tepat lagi, tidak ada aplikasi cara didikan Rasulullah s.a.w. Benar, pasenteren itu hanya merujuk Al-Quran dan Sunnah, tapi tidak dilihat bagaimana merujuknya!

Saya berfikiran begini dan sebenarnya saya risau apabila ada wanita lain yang mentafsirkan dengan perspektif yang berlainan terutamanya jika menganggap itulah institusi Islam yang sebenar dan hanya itulah tugas-tugas wanita dalam Islam; hanya membantu dan melayan suami. Ya, sebagai isteri adalah salah satu tugas wanita dalam Islam, tetapi wanita Islam juga mempunyai tempat di dalam semua bidang ilmu dan pekerjaan. Islam juga memberi hak kepada para wanita Islam untuk berfikir dan memberi pandangan (seperti Saidatina 'Aisyah yang bijak itu!). Wanita dalam Islam tersangat istimewa jika benar-benar tahu bagaimana merujuk Al-Quran, As-Sunnah dan panduan para Ulama'.

Amat malang apabila seorang wanita Islam ingin bebas dari kehidupan Islam yang sebenar kemudian menyertai kehidupan sebaliknya. Malang bahkan tidak bermaruah dan hina!

Arranged


Filem ini sebenarnya saya kutip setelah saya baca sebuah review dari Faisal Tehrani. Melihat sinopsisnya yang menarik, saya mula mencarinya di internet.

Arranged pada saya sebuah filem yang sangat menyentuh hati kerana watak-wataknya digambarkan sebagai wanita-wanita yang suci dan berpegang teguh dengan ajaran agama. Namun, pegangan mereka dipandang rendah oleh orang-orang sekeliling mereka. Filem ini bukan filem anti-agama tetapi lebih kepada kisah toleransi Islam-Yahudi Ortodoks (jangan salah faham, pengganas Israel di Palestin adalah Syaitan Zionis!). Kisah dua orang guru praktikal wanita di dalam sebuah sekolah di New Jersey (kalau saya tak silap) yang berbilang kaum, pemikiran dan pegangan agama.

Saya paling geram apabila melihat Pengetua sekolah yang terlalu sekular. Katanya mereka adalah guru yang kreatif, bijak dan sentiasa menepati masa. Namun apa yang tidak beliau puas hati adalah cara pemakaian mereka yang terlalu mengikut ajaran agama. Katanya pilihan. Beliau meminta kepada mereka berdua supaya berfikir dan memilih jalan hidup mereka bukan ikut-ikutan agama. Kerana geram dengan sikap Pengetua yang bagi saya tiada pegangan agama dan bodoh, Rachel si Yahudi membalasnya dengan kata-kata yang saya suka, "I have my choice, and this is my choice, and this is the community choice. You think if I live without my family is a freedom? You think if I sleep with any other man that I barely know is a freedom?". Itulah dia wanita Yahudi yang memang terkenal dengan kebijaksaan mereka. Dia bukan sahaja mempunyai otak, tetapi juga tahu menggunakannya.

Filem ini juga memaparkan satu adegan yang menarik iaitu bagaimana kedua-dua agama menyusun para pengikutnya untuk mencari pasangan dan berkahwin. Dan cara Islam dipersembahkan dengan begitu baik sekali, tidak ada yang melanggar apa yang saya fahami selama ini. Tidak ada couple yang entah apa-apa, tidak ada penentangan keluarga dan semuanya dilalui oleh kedua-dua wanita ini dengan penuh senang hati dan bahagia. Bahkan bakal suami Rachel juga hasil usaha dan susunan Nasira, sahabat Muslimnya. Filem yang indah dan saya sangat terharu menontonnya!

Kedua-dua kisah ini membuatkan saya benar-benar ingin menjadi pendidik wanita. Pensyarah falsafah atau kedoktoran barangkali. Saya tidak mahu wanita menggunakan akal tanpa panduan yang ditetapkan oleh Pencipta mereka. Saya tidak mahu para wanita dunia mentafsir kehidupan mereka dengan cara yang salah dan hanya mengikut telunjuk nafsu. Saya tidak mahu wanita hari ini mentafsir sebuah kebebasan seperti yang pernah ditafsirkan oleh SIS itu. Saya tidak mahu wanita terus menerus menjadi penghuni Neraka paling ramai kerana kebodohan mereka akibat dari kurangnya ilmu dan iman!

Ya Allah ampuni kami atas segala kesalahan yang kami tahu dan yang tidak kami ketahui.
Ya Allah, tunjuki kami dengan hidayah dan kasih-sayangmu.
Ya Allah, jangan engkau pesongkan hati kami dari hakikat Islam yang sebenar dan lindungi kami dari falsafah jahat dan godaan musuh lelaki dan wanita yang nyata yakni Syaitan.
Ya Allah, kami tidak mempunyai sebarang kekuatan melainkan daripadaMU..

P/S: Jom jadi wanita paling hebat dengan Al-Qur'an!

..Wallahu'alam..

...Read more

17 June 2009

Maafkan Saya, Maafkan..

Dalam jangkamasa sebulan exam final ini berbagai perkara berlaku. Sahabat saya dari Malaysia datang ke Mesir (spesifically Cairo) dalam tempoh sebulan juga untuk praktikal Bahasa Arab. Lebih awal lagi, cikgu Bahasa Melayu saya meninggal dunia ketika saya sedang menghadapi kertas Pharmacology. Dan seorang lagi sahabat seperjuangan saya (boleh baca banyak tentangnya di sini) juga meninggal dunia diikuti dengan Ustaz Fathi Yakan, penulis buku terkenal, Maza Intima' Al-Islam (boleh membaca versi bahasa melayunya di sini). Kemudian saya tidak dapat menemani dan membelanja sepupu saya yang datang untuk peperiksaan di Mesir bahkan langsung tidak sempat meluangkan masa untuknya.

Kelima-lima perkara benar-benar menyedihkan saya. Pertama sedih kerana saya tidak dapat menemani sahabat saya berjalan-jalan sekitar Mesir dan membantunya belajar lebih banyak tentang Mesir. Kedua saya sedih kerana dunia semakin kehilangan orang-orang soleh. Yang tinggal hanyalah mereka yang takut mati dan malas memperjuangkan Islam apatah lagi komited dengan kerja-kerja Islam. Saya mungkin dalam golongan itu juga. Kesedihan yang kedua ini sebenarnya bersama dengan satu perasaan lagi; GERAM. Geram dengan diri sendiri dan siapa sahaja yang selalu melakukan kesalahan dan dosa tapi tak sedar-sedar.

Apa yang orang kisah dengan perasaan saya kan? Biarlah, blog pun gunanya untuk luahan perasaan. Cara memberitahu kepada orang lain dengan cara yang lain jika kita tidak pandai berkata-kata atau andai berkata-kata meyakitkan atau menyedihkan hati..



Benarkah pelajar perubatan begitu sibuk? Benarkah pelajar perubatan tidak sempat bersosial? Benarkah pelajar perubatan hidupnya hanya dengan buku-buku, pen dan kertas? Benarkah begitu?

Pertanyaan ini membuatkan saya tersenyum. Benar pelajar perubatan sibuk. Sibuk dengan kelas 5 hari seminggu dari jam 8 petang hingga 2 petang, kuiz setiap minggu dan assignment, silibus pengajian yang menuntut ulangkaji secara konsisten (kerana terlalu banyak dan berat!) dan bertambah-tambah lagi bila terlibat dengan tugas-tugas persatuan.

Tetapi saya tidak bersetuju dengan kenyataan ini secara total. Kenapa? Kerana ada di antara pelajar-pelajar perubatan yang sempat men'khatam' puluhan episod cerita cinta korea, jepun tak ketinggalan juga melayu. Bagaimana mereka mempunyai masa yang sebegitu banyak? Jawapan itu saya tidak ada dan saya tidak mahu berbicara tentang itu. Ketuk minda, tanyalah fikiran.

Post saya kali ini lebih kepada memohon maaf. Saya memohon berjuta-juta kemaafan terlebih dahulu kepada sepupu saya, Abu Dzar kerana tidak dapat meraikan kedatangannya di sini. Sudahlah pelbagai cabaran yang dilaluinya ketika berada di sini, satupun saya tidak bantu. Jika alasan masih boleh diterima, maka kerana examlah saya tidak dapat mengosongkan masa dan membelanjai anda. Subjek tahun ketiga dan yang terakhir ini terlalu mencabar dan perlu ulangkaji tahap tertinggi. Maafkan..

Bila lagi akan saya bertemu dengan saat itu?

Kemudian kepada kedua sahibah saya di ARMA (Malaysian Hall), Kak Aisyah dan Sarah Izham. Maafkan saya tidak dapat meluangkan masa untuk berjalan-jalan melihat istimewanya Mesir. Saya tahu Mesir terlalu mundur dan kucar kacir dari Malaysia, tetapi negara inilah yang berjaya melahirkan 4 orang penerima Anugerah Nobel. Malaysia? Tak ada seorangpun. Kerana itulah Mesir sebenarnya ada mutiara yang tidak dapat dilihat dengan mata fizikal sahaja. Maafkan saya kerana tiada masa untuk menunjukkan semua itu..

Ketika cuba untuk terbang, namun hanya dengan tremco sahaja yang mampu..

Buat sahibah-sahibah yang masih di sini, terutamanya Nawwar dan Shanuh yang sangat sabar, ana memohon maaf kerana tidak dapat meluangkan masa yang banyak untuk antuma. Kepada Nawwar, ana tidak pandai lagi menyusun masa tambah lagi bila ditaklifkan sebagai TP, maka ana menjadi terlalu kelam kabut. Tetapi, saat-saat bersembang masalah dengan Nawwar adalah saat-saat yang paling ana rindui kerana ketika itu ana rasai betapa masalah itu dirasai bersama anti. Terlalu dirasai! Kepada Sha, anti kehilangan seseorang yang sangat hampir dan terlalu soleh, maafkan ana sebab tidak dapat berada di sisi Sha ketika saat itu. Ana harapkan antuma berdua terus tabah dan jangan lemah. Kita masih ada Allah kan?

Saya mengakui saya sibuk dengan pelajaran dan tugas saya. Saya mengakui saya tidak pandai mengatur masa. Saya mengakui saya terlalu lemah menguruskan semua itu, maafkan saya. Saya cuba melakukan yang terbaik dan saya cuba untuk menyelesaikan masalah diri saya namun hasilnya tidak sebaik yang diharapkan. Maafkan saya dan doakan agar saya terus tabah dan lebih tersusun hidup. Mungkin selepas semua tugas selesai, saya cuba untuk terus memperbaiki diri saya. Nafsu perlu dilawan lagi, mungkin..

Betullah, saya hanya seorang hamba..

Mungkin waktu saya kurang keberkatannya, apa yang perlu saya lakukan?

..Ana Asifah wa Astaghfirullah..

P/S: Saya tidak mahu menjadi seperti munafiq, ibarat tin kosong, bunyinya bukan main, tapi isinya tiada.. (Surah Al-Munaafiquun)

...Read more

06 June 2009

Cerita Internet

Written Pathology will begin on June, 15th. The last paper InshaAllah.
I have 10 days beginning from today to cover 502 pages of General and Special Pathology.
10 days with 72 pages per day.
Hu, rapid revision maybe. A load to read, understand and digest.

But this time, I like to share something, in between this period, a story that others might think it just a usual story, but for me, it's about win-win situation. Everyone did their very best including our neighbour, Baba Hassan. And finally we got the best. But what we have now unfortunately never been considered by others, because it seems as a simple matter for them. Simple and no big deal! hu~

Cerita internet yang kini berkelajuan 1MB, wireless dan tiada masalah terputus-putus dengan bayaran LE230 sebulan melalui perkhidmatan syarikat internet Linkstream.

Cerita bermula begini..


Rumah yang sedang kami duduki dari tahun 2008 hingga kini adalah rumah kedua kami yang pada mulanya memang mempunyai line telefon. Kami berkeputusan untuk menggunakan line telefon tersebut untuk memasukkan line internet dan tidak perlu lagi memasang line yang ditarik dari CC yang perlu dipasang untuk setiap orang. Maka keputusan dibuat dengan membeli router yang mempunyai 4 port untuk Ethernet dan satu anthena untuk wireless. Itupun dengan bantuan ikhwah yang lebih dulu menggunakan router dengan kelajuan yang saya agak maksimum; 2 MB.

Dengan bantuan mereka juga kami dibawa ke syarikat internet untuk mendaftarkan line telefon rumah kami. Tetapi akhirnya, apa yang disangka tidak semudah yang dilakukan. Line telefon tersebut tidak dapat diaktifkan kerana ada masalah-masalah yang tidak diketahui. Pelbagai cara dicuba, namun tiada perubahan. Maka perjuangan kami bermula di sini bila semua jalan seolah-olah mustahil.

Bergilir-gilir kami satu rumah ke syarikat tersebut untuk memastikan samada line telah diaktifkan. Beberapa kali juga nombor IP dan segala nombor yang diperlukan ditukar dan dimasukkan, namun tiada apa yang berlaku. Lampu ADSL pada router tetap tidak menyala. Entah apa salahnya. Buntu. Syukur juga pada waktu itu kami tidak dikenakan bayaran kerana line masih belum diaktifkan. Kata operator di syarikat itu, mungkin line telefon rumah kami bukan line yang sesuai untuk disambungkan internet. Syabakah ardhiah katanya. Perlu taslih atau diperbaiki ataupun dinaiktarafkan. Di situ baru kami tahu di Mesir rupa-rupanya ada 2 jenis line telefon! Macam-macam..

Kemudian, kami mula mengambil keputusan untuk taslih dan memerlukan bantuan Baba Hassan (jiran bawah rumah kami yang sangat sabar) untuk memanggil orang dari center. Penantian demi penantian, line yang kononnya telah diperbaiki masih belum boleh juga diaktifkan. Sekali lagi operator di syarikat Linkstream menyarankan kami supaya terus sahaja menyambung router dengan line telefon jiran kami. Alhamdulillah, jumpa jalan keluar akhirnya. Nombor ditukar dan sambungan fizikal perlu diubahsuai.

Ketika ADSL mula menyala..

Pada mulanya Baba Hassan hanya menyarankan kami supaya membuat sambungan lain sahaja dengan membuat pintasan pada line telefonnya, akhirnya lampu ADSL yang dinanti-nantikan sekian lama menyala. Namun, keseronokan tidak kekal lama setelah lampu tersebut kembali padam. Bermula pada saat itu, line yang baru telah mula diaktifkan dan kami perlu membayarnya walaupun internet tidak selancar yang disangka. Alangkah! (Ketika itu hanya berkelajuan 0.5 MB dengan bayaran LE120)

Kegeraman semakin bertambah-tambah dan kami memaksa otak untuk terus mencari idea menyelesaikan masalah ini. Apa yang pasti, masalah utama adalah sambungan fizikal dan bukan lagi masalah line telefon seperti yang berlaku pada pertama kali. Selepas solat hajat dan bacaan Yaasin bersama-sama (semata-mata untuk line ini!), akhirnya, sebuah wayar telefon sepanjang 10 meter dibeli, disambungkan pada router dari tingkat 2 rumah kami ke tingkat 1 terus ke telefon Baba Hassan dengan bantuan splitter. Sambil menjerit-jerit antara 2 tingkat tersebut dengan Wani, Fazilah dan Huda di tingkat atas manakala saya, Najah dan Iman mengganggu Baba di tingkat bawah, kerlipan ADSL akhirnya menjadi sangat stabil. Nak tergelak rasanya mengenangkan saat-saat itu..

Permulaan pemasangan memang mempunyai masalah (internet terputus secara tiba-tiba) hingga 2 kali muhandis (technician) datang memeriksa secara percuma. Dan sejak saat itu hingga ketika ini, internet berjalan dengan sangat baik. Alhamdulillah, Allah sangat baik!

Memiliki line internet adalah satu nikmat yang tidak boleh disalahguna!

Internet menjadi keperluan kepada kami sejak semua urusan kuliyah dan hal-hal persatuan berkait rapat dengannya. Tetapi pada tahun ini, sambungan internet rupa-rupanya mempunyai tugas ketiga; memuat turun cerita-cerita. Kesal sebenarnya kerana aktiviti memuat turun cerita-cerita telah melembapkan perjalanan line wireless sehingga YM bermasalah dan nota-nota segera tidak dapat dimuat turun dengan cepat. Saya bertambah kesal kerana aktiviti memuat turun cerita-cerita semakin rancak sehingga lari dari tujuan asal line internet ini diperjuangkan kewujudannya. Dan tidak keterlaluan jika saya katakan, aktiviti muat turun ini banyak menganggu tugas utama pelajar-pelajar di sini; UNTUK BELAJAR DAN MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN!

Selepas perbincangan ringkas dalam fatrah exam ini, dan apabila melihat cadangan menaikkan line kepada 2 MB dan akan dibayar oleh pihak-pihak tertentu, saya dan ahli bait yang lain memikirkan untuk kembali semula pada keadaan asal (0.5 MB) dan memutuskan untuk tidak lagi berkongsi wireless. Saya dan rakan-rakan serumah tidak mempunyai masalah tentang muat turun ini kerana kami tidak dibiasakan dengan memuat turun cerita-cerita. Bagi kami, duit bukan segalanya. Apa yang utama adalah matlamat internet diadakan dicapai secara penuh; hinggalah kepada penggunaanya. Kami tidak mahu masing-masing mementingkan diri sendiri dan ikut suka hati. Hidup susah sama-sama, senang sama-sama. Baru bahagia.

Begitulah sedikit sebanyak kisah internet di Baitul Ateeq yang dikongsi seramai 12 orang (13+ sebab campur dengan anak Baba Hassan, hu~). Mungkin ramai yang tidak tahu kisah disebaliknya dan menganggap kami secara mudah mendapatkan sambungan internet. Tidak semudah itu. Tetapi kami seronok melakukannya kerana kami bersama..

Maafkan jika tulisan ini ada menggangu benak fikiran beberapa pihak, tetapi inilah luahan hati dan penjelasan, agar semua faham, hidup bukan seorang-seorang, hidup bukan untuk senang lenang dan hidup bukan hanya di dunia. Hidup bersama membuahkan banyak perkara-perkara besar jika dibandingkan dengan hidup sendirian. Sesungguhnya, kehidupan dunia ini menentukan kehidupan kita nanti di akhirat. Adakah kita bersedia?

Sekadar sebuah cerita yang tidak mempunyai signifikan bagi orang yang tidak berkenaan.
Peringatan untuk diri sendiri juga yang sedikit terganggu dengan kewujudan internet..

..Wallahu'alam..
...Read more

05 June 2009

Marriage = Death

Jangan terkejut. Itu hanya satu pandangan saya entah sejak bila. Itulah fungsi sebenar sebuah blog. Untuk menyatakan pandangan, idea dan kemahiran supaya pandangan manusia itu tertingkat dan sedar. Dan juga setiap manusia itu berbeza.

So, this is my opinion which is subjected to approval and rejection..


Bagi saya, perkahwinan dan kematian itu memerlukan cinta dan cinta memerlukan ikatan. Cinta memerlukan ikatan? Benarkah? Bagaimana ya?

Ya, cinta antara kawan memerlukan ikatan persahabatan. Cinta ibu ayah dan anak-anak memerlukan ikatan kekeluargaan. Cinta antara suami dan isteri memerlukan ikatan perkahwinan. Malah cinta manusia dengan Tuhannya memerlukan ikatan perhambaan. Cinta perhambaan yang akhirnya akan bertemu dengan Tuhannya melalui kematian. Cinta tanpa ikatan bagaimana agaknya? Rapuh bukan? Tanpa makna, tanpa perjanjian malah tanpa ikatan, tidakkah hanya sekadar kata-kata penuh dusta? Benar, cinta itu tidak mengira siapa, tetapi cinta tanpa sebarang ikatan hanyalah perasaan biasa seorang manusia yang tidak mempunyai kuasa untuk menjadi seorang manusia itu hebat dan menjadikan orang lain hebat. Ya, begitulah pandangan saya. Kalau kita benar-benar hendak bercinta dengan sungguh-sungguh, maka wujudkanlah ikatan. Bukan cinta suami isteri sahaja, tetapi wujudkanlah ikatan kehambaan dengan Dia yang lebih berhak diserahkan segala cinta..

Kembali tentang perkahwinan, saya bukanlah orang yang mempunyai pengalaman penuh tentang perkahwinan, tetapi boleh dikatakan saya adalah salah seorang calon untuk perubahan hidup yang satu ini. Dan bagi saya perkahwinan hampir sama dengan kematian. Bukan kerana kedasyatannya tetapi ada persamaanya; bersedia untuk menjadi yang terbaik. Isteri yang terbaik dihadapan suami, dan hamba yang terbaik dihadapan Tuhannya.

Dan perkahwinan-kematian itu hampir sama kerana kedua-duanya adalah antara perubahan-perubahan terbesar dalam hidup. Dari bujang kepada suami atau isteri. Dari bernafas kepada tidak bernafas.

Dan perkahwinan-kematian adalah hampir sama kerana kedua-duanya adalah events yang tidak boleh berpatah balik. Irreversible kalau istilah perubatan. Sudah tentu perkahwinan tidak sedasyat kematian kerana kematian adalah noktah perpindahan alam.

Entah kata-kata siapa yang pernah saya dengar atau baca, "Rumahtangga yang bahagia umpama syurga sebaliknya rumahtangga yang sengsara umpama neraka."

Dan perkahwinan-kematian memberikan saya satu perasaan yang sama; saya takut. Saya belum mampu berhadapan dengannya kerana saya belum bersedia untuk kedua-duanya. Benar, takut sekali, perkahwinan mungkin boleh ditangguh, tetapi kematian? Aduh, takutnya!

Benar, dengan ketakutan ini sebenarnya membuatkan kita lebih bersedia. Persoalannya bagaimana kita bersedia? Adakah persediaan perkahwinan kita lebih hebat dari persediaan kematian kita? Adakah kita menganggap kita akan bertemu dengan pekahwinan dahulu sebelum kematian?

Saya selalu terbaca artikel tentang cinta dan perkahwinan ini bahkan kebelakangan ini saya sering menjenguk blog remaja yang banyak pula berbicara tentang cinta dan perkahwinan. Benar, tentang mendapatkan suami/isteri yang baik, diri sendiri dahulu perlu diperbaiki. Tetapi jarang pula saya terbaca artikel yang mengkaitkan perkahwinan dengan menekankan persediaan kematian pula. Seolah-olah bersedia untuk kahwin itu lebih penting dari kematian. Bahkan berusaha menjadi baik hanya kerana untuk mendapatkan suami/isteri yang baik pula. Sedangkan kedua-duanya adalah hampir sama dan kematian itu jauh lebih perlu kepada persediaan yang lebih rapi dan sempurna!

Kadang-kadang kita tidak sempat bersedia sepenuhnya, kita sudahpun berhadapan dengannya. Tak mengapa, bersedia semampu mungkin..

Sebenarnya, menjadi baik untuk dapatkan suami/isteri yang baik itu tidak salah. Bahkan ia boleh menjadi titik permulaan untuk terus dalam kebaikan. Tapi, apa salahnya andai kita lebih bersedia untuk menghadap Allah yang entah bila tiba masanya. Dan bila sedang bersedia menghadapi kematian sebenarnya menyediakan kita untuk menghadapi perkahwinan kerana di saat itu kita telah berusaha untuk menjadi hamba yang paling baik di hadapanNya. Hamba yang baik dihadapan Allah bukankah orang yang paling baik kepada suaminya/isterinya? Bukankah dia yang paling baik dengan keluarganya, yang paling baik dengan jirannya dan yang paling baik dengan kawan-kawannya? Bukankah contoh hamba Allah yang terbaik adalah Baginda Rasul s.a.w.?

..dan berbekallah kerana sebaik-baik bekalan adalah TAQWA (menjaga diri) dan berTAQWAlah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)..
Al-Baqarah:197

Benarlah wahyu Allah tentang persediaan-persediaan ini, benar sekali TAQWA adalah bekalan terbaik!

Maka hati yang bagaimanakah akan kita persembahkan pada Allah?

Takut sekali, saya belum bersedia untuk kedua-duanya! Ampunkan aku Ya Allah, Astaghfirullah..

..A thought in the middle of summer..
...Read more