Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah : 155-156)

22 May 2009

To Parents and Agencies, From A Third Year Senior


Bismillahirrahmanirraheem,

Selawat dan salam buat Rasul Junjungan, ikutan Terbaik, Rasul s.a.w.
Assalamu'alaikum w.b.t.
Pertama-tamanya, untuk sebarang pertanyaan secara terus, boleh berhubung dengan saya secara terus melalui e-mail saya, reactive_na@yahoo.com , atau id ym saya, kidz_1487 dan inshaAllah saya akan menjawabnya secepat mungkin. Saya mungkin tidak dapat menjawab dalam tempoh tertentu kerana saya sekarang menghadapi peperiksaan akhir tahun.
Post saya kali ini rasmi mungkin, lebih kepada penjelasan dan pencerahan buat ibu bapa yang mempunyai harapan yang tinggi agar anak-anak memiliki masa depan yang cerah dan memberi nama baik untuk keluarga sebagai seorang doktor.
Juga penjelasan untuk agen-agen yang menghantar pelajar-pelajar ke Mesir, tidak kira yang diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau Jabatan Perkhidmatan Awan (JPA) atau individu mana sekalipun di Kementerian.
Juga peringatan untuk bakal-bakal pelajar perubatan yang bakal menyertai kelompok pelajar Malaysia Timur Tengah. Berkongsi perasaan dan pengalaman barangkali.
Saya bukanlah antara personal yang mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang kemasukan pelajar ke Mesir, terutamanya Tanta. Tetapi sebagai senior yang hampir menamatkan tahun ketiga di Tanta, Mesir dan telah melihat, merasai dan menguruskan adik-adik junior di sini, perlu rasanya saya berikan penerangan kerana terdapat beberapa agensi masih dilihat kurang menitikberatkan beberapa perkara terutamanya dalam urusan pendaftaran pelajar ke Kementerian Pengajian Tinggi Mesir (KPT Mesir atau lebih dikenali Idarah Wafidin-Sektor Pelajar Asing).
Maklumat Terkini : Universiti Tanta
Pelajar Melayu-Malaysia di Tanta tidak seramai di Mansurah dan Kaherah yang hanya 173 orang. Hingga akhir pengajian sessi 2008/09 ini, hanya 2 orang pelajar di tahun 4, 30 orang di tahun 3 dan yang bakinya di tahun 2 dan 1.
Pelajar-pelajar ini terdiri dari pelbagai agen penghantar dan penajaan iaitu JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), MARA (Majlis Amanah Rakyat), Baitulmal Wilayah Persekutuan, YIK (Yayasan Islam Kelantan), Akademi Quran (AQ), QAS (I don't really know stand for what) dan Medicmesir. Terdapat juga pelajar persendirian atau private, tetapi kemudiannya mendapat tajaan di tahun 2 berdasarkan keputusan di tahun 1.
Kesemua pelajar ini berada dalam Bidang Perubatan Am, Fakulti Perubatan. Tidak ada pelajar Fakulti Pergigian mahupun Farmasi.
Kenapa sedikit sahaja pelajar di hantar ke Universiti Tanta? Jawapannya akan saya ceritakan selepas ini.
Pendaftaran, Perumahan dan Kebajikan
Antara masalah terbesar berkaitan pelajar luar negara terutamanya Mesir adalah 3 perkara di atas terutamanya apabila agen mula menghantar pelajar ke sini. Secara keseluruhannya, kesemua kebajikan pelajar-pelajar adalah kerjasama antara pelajar sendiri terutamanya senior.
Bermula dari tahun 2007, bilamana agen mula menghantar para pelajarnya, urusan pendaftaran mula menjadi rumit. Puncanya apabila permohonan melalui KPT Malaysia diabaikan. Akibatnya, tidak ada fail maklumat pelajar yang dihantar dari KPT Malaysia ke KPT Mesir seterusnya ke Universiti sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini. Maka Universiti mula mengambil langkah untuk 'membuang' atau 'dismiss' pelajar yang tidak didaftarkan tersebut.
Melihat kepada masalah ini, juga mengambil kira 'keterlanjuran' pelajar yang telah datang ke sini dengan berbagai janji, maka senior mula mengambil langkah dengan menyediakan semula fail maklumat pelajar, dihantar semula kepada KPT Mesir (Idarah Wafidin) melalui Universiti seterusnya menunggu penerimaan KPT Mesir untuk urusan kemasukan ke Universiti.
Hasil campur tangan pihak atasan terutamanya Duta Malaysia ke Mesir, perkara ini selesai.
Persoalannya, di mana peranan KPT Malaysia dalam menentukan standard pelajar yang bakal mengambil perubatan di Timur Tengah? Adakah kesemua pelajar yang mampu dari segi kewangan sahaja boleh mengambil ijazah kedoktoran walaupun SPM tidak langsung menepati piawaian yang ditetapkan oleh KPT Malaysia?
(Perkara di atas pernah berlaku di Universiti Tanta, saya tidak tahu adakah perkara yang sama juga berlaku di Universiti-universiti lain.)
Andaikata kuasa Duta tidak lagi diambil kira, apakah nasib pelajar-pelajar di bawah agensi tersebut? Sepatutnya datang ke universiti untuk belajar, akhirnya dibebani dengan kebimbangan tidak diterima belajar di Universiti.
Selain dari masalah pendaftaran, perumahan adalah aspek kedua terbesar yang kami, sebagai senior telah hadapi. Benar, agensi telah berjanji menyediakan penempatan untuk pelajar. Tetapi, adakah anda benar-benar pasti agensi tersebut telah menyediakannya? Jika benar, berapa sewanya sebulan? Bagaimana keadaannya? Adakah dengan sewa yang tinggi anda tidak menjejaskan pelajar-pelajar yang lain yang sudah lama berada di sini? Berada di Mesir tidak seperti di Malaysia, anda hidup dengan masyarakat Malaysia yang juga hanya pelajar, anda perlu mengambil kira kemampuan mereka yang lain terutamanya mereka yang berada dalam Pengajian Islam. Di Mesir, apabila satu rumah telah dinaikkan harga, maka kesemua rumah yang telah disewa kepada pelajar Malaysia juga turut dinaikkan tanpa mengira kelengkapan dan sebagainya.
Perkara ini telahpun berlaku di Cairo (Kaherah), Mansurah dan Alexandria (Iskandariah) dan Tanta masih dalam kawalan walaupun sewa rumah masih dikira tinggi di kalangan para pelajar di sini lebih-lebih lagi kepada pelajar yang belum mendapat tajaan.
Melihat kepada kedua-dua masalah ini, adalah lebih baik segala kemusykilan dirujuk kepada senior kerana senior adalah tempat rujukan terbaik dalam urusan pengajian di sini terutamanya apabila datang bersama dengan pelbagai penaja dan agensi (hatta Yayasan Negeri sekalipun). Begitu juga berkaitan perumahan, kebajikan dan akademik. Saya dan kawan-kawan sedia membantu dalam semua segi, insyaAllah.
Tidak percaya kepada kemampuan persatuan pelajar? Baik, sila berhubung terus dengan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah atau Malaysian Student Department. Mereka juga akan menghubungi senior di Tanta juga akhirnya.
It Is Not Easy As You've Thought
Saya tidak berniat untuk memburukkan mana-mana organisasi penaja ataupun agensi. Saya hanya sedikit kesal apabila ramai pelajar yang datang ke sini kononnya untuk menjadi seorang doktor, tetapi tidak menepati ciri-ciri yang sepatutnya ada pada seorang pelajar perubatan.
Saya kesal, dengan begitu mudah (SPM bertaraf C5) masih boleh mengambil bidang perubatan di Mesir dan alhasilnya, kurang komitmen dalam pengajian dan pembelajaran. Malah, lebih menyedihkan, pelajar-pelajar yang datang dengan agensi mengambil mudah bidang ini lantas bersikap tidak peduli, malah melakukan apa sahaja yang disukai tanpa memikirkan masyarakat sekeliling seolah-olah mereka sedang berada di Malaysia. Saya bertambah kesal apabila fenomena kedatangan bersama agen ini juga rupa-rupanya mengundang gejala sosial yang keterlaluan dan menimbulkan reaksi yang tidak baik kepada masyarakat Mesir khususnya yang terkenal dengan gelaran bumi para nabi.
Saya tahu tidak semua melakukan perkara tersebut tetapi secara umumnya, atas apa yang saya lihat dan perhatikan.
Realitinya (terutamanya di Tanta), pengajian perubatan memerlukan komitmen yang tinggi. Menjadi seorang doktor bukan hanya untuk nama dan gaji yang tinggi. Tetapi menjadi seorang doktor ialah menjadi seorang yang 'serba tahu' tentang manusia dan kesihatannya. Jika kita hanya belajar sambil lewa, keputusan peperiksaan hanya cukup makan untuk naik tahun, pada masa hadapan nanti, tidak mustahil kita sebagai seorang doktor tidak berguna lagi untuk menyelamatkan nyawa manusia. Bahkan kita MALAS untuk mencegah kematian.
Benar, sistem pembelajaran di sini lebih kepada 'exam oriented', tetapi exam inilah yang menentukan kita bersungguh-sungguh atau tidak. Ya, tahun pertama anda masih boleh membawa 2 subjek jika anda tidak lulus, tetapi untuk masuk tahun ketiga, anda tidak boleh membawa sebarang subjek. Jika anda gagal satu subjek pada tahun kedua, anda akan mengulangi subjek yang sama pada tahun tersebut. Maka, pengajian anda bertambah dari 6 tahun setengah kepada 7 tahun setengah. Mahu terus bersabar? Silakan. Soalannya tidak semudah yang anda sangka.
As my friend once wrote; Don't just based your life on assumption.
Untuk datang ke sini adalah satu cabaran yang besar. Dan untuk belajar di sini adalah cabaran yang lebih besar lagi. Jika anda tidak merasainya sebagai satu cabaran, maka anda kekurangan satu sikap yang perlu ada pada seorang pelajar perubatan Mesir. Anda perlu bersedia sepenuhnya untuk cabaran ini. Bersedia bahawa anda akan menemui banyak kekurangan-kekurangan di sini dan juga diri anda. Di sinilah titik tolak bermulanya hidup anda sebagai seorang pelajar perubatan dan jangan lupa juga, titik tolak untuk menjadi lebih MANUSIA. Manusia yang hanya seorang hamba kepada Tuhannya. Manusia yang mulia, tidak ada ciri-ciri kebinatangan di dalamnya.
My Last But Not Least Words
Saya memohon agar ibu bapa dan juga anak-anak yang berminat untuk menjadi doktor supaya berfikir semasak-masaknya. Kepada ibu bapa, jika anak tidak mampu dan tidak mahu, jangan dipaksa. Jurusan perubatan memerlukan kesabaran dan kegigihan ditambah dengan sokongan moral dari ibu bapa. Tanpa semua ini, tidak mustahil anda tidak dapat meneruskan pengajian di sini. Terutamanya di Mesir.
Benar, bidang perubatan tidak memerlukan kecerdikan seperti bidang kejuruteraan mahupun bidang ekonomi. Tetapi bidang ini memerlukan hati yang tabah dan penuh kemanusiaan kerana bidang ini melibatkan kemandirian spesies manusia. Satu tugas yang menjadikan golongan doktor golongan ketiga selepas lelaki dan perempuan. (As Abang Shuib once said, I'll write about that, InshaAllah..)
Berfikirlah, menjadi doktor itu susah semasa belajar, susah juga semasa bekerja. Menjadi doktor senang jika anda mahu menjadi doktor, bukan perlu menjadi doktor.
(It is hard when you have to do it, but it easier when you want to do it..)
Wallahu'alam.
Akhir kalam, Astaghfirullah,
Jika ada kesalahan kata-kata, harap diperbetulkan,
Samada secara sinis ataupun secara jelas,
Dipersilakan.
Amatullah Al-Faqirah,
Nurulhusna Binti Ahmad Sani,
Awwal Shober, Ma'arad,
Pelajar Perubatan, Tahun Tiga, Universiti Tanta.
(+20118785998)
(saya sekarang di bawah tajaan JPA, Pinjaman Khas Perubatan dan tidak pernah datang ke Mesir dengan sebarang agensi, Harap Maklum.)

4 responds:

janas said...

owhh..
hehe
tatau nak cakap pe..

ismifatinazminmansor said...

salam, kak fatin ni, dr mansurah ...nice blog...

zOoL said...

Salam. Entri yang bagus sebagai panduan untuk yang belum dan tazkirah untuk yang telah datang ke sini. Mabruk! Nice blog! :)

Anonymous said...

terima kasih kerana share information. dapat tahu sedikit sebyk tntg environment di mesir.